WEF 2022: Ekonomi Malaysia akan lebih baik selepas China hapuskan sekatan COVID-19

Najib Aroff
Mei 26, 2022 20:28 MYT
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan terus terbuka dengan perjanjian dagangan sama ada bilateral atau multilateral. - Facebook Tengku Zafrul
DAVOS: Malaysia yakin kesan positif akan diterima negara sejurus selepas China membuka kembali sektor ekonomi yang ditutup susulan penularan COVID-19.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan penutupan beberapa aktiviti ekonomi memberikan impak kepada negara.
"Penutupan aktiviti ekonomi ini lebih buruk dari jangkaan, lebih panjang daripada apa yang kami unjurkan. Ia mempunyai impak negatif kepada rantaian bekalan.
"Malaysia selaku ekonomi yang terbuka yang mana dagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 120 peratus, sudah tentu ada impak.
"Namun jika kita melihat kesan limpahnya apabila China mula membuka kembali aktiviti ekonomi, ia akan positif dan mampu diuruskan," katanya ketika menjadi ahli panel forum bertajuk Global Risks in an Era of Turbulence, sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF 2022) di Davos, Switzerland.
Tengku Zafrul berkata, meskipun sekatan itu menjejaskan rantaian bekalan namun ekonomi Malaysia masih berdaya tahan dengan pertumbuhan KDNK suku pertama sebanyak 5 peratus.
Justeru, ia selari dengan unjuran pertumbuhan tahun penuh pada 5.5 hingga 6.5 peratus.
Sementara itu, dalam isu berkait Laut China Selatan, Zafrul berkata, negara akan terus berhubung dengan China bagi mencari penyelesaian tuntas.
"Kami mempunyai hubungan yang panjang dan China merupakan antara negara pertama yang membina hubungan diplomatik bersama kami pasca kemerdekaan.
"Kami akan terus berhubung dengan China," katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan terus terbuka dengan perjanjian dagangan sama ada bilateral atau multilateral.
"Kami penyokong globalisasi. Kita sudah saksikan impak jika kita berpatah balik terutama untuk sebuah negara kecil seperti kami.
"Kami rasakan sebarang perjanjian perdagangan bebas (FTA), bilateral dan multilateral dengan Malaysia, adalah sesuatu yang menjadi minat kami dan ia adalah langkah yang betul untuk dilaksanakan," katanya.
Beliau menjawab soalan berkaitan pengaruh China di rantau ini melalui ketenteraan dan pengaruh ekonomi dan tindakan Amerika Syarikat melalui Rangka Kerja Indo Pasifik (IPEF).
#WEF 2022 #Tengku Zafrul Abdul Aziz #ekonomi #pandemik #China
;