Wee Ka Siong minta syarikat penerbangan tingkat frekuensi penerbangan menjelang PRU15
Bernama
Oktober 29, 2022 15:43 MYT
Oktober 29, 2022 15:43 MYT
AYER HITAM: Syarikat penerbangan di negara ini diminta meningkatkan frekuensi penerbangan masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus ia dilihat dapat mengawal harga jualan tiket.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pada masa sama, sekiranya perlu, waktu operasi lapangan terbang dan penerbangan juga boleh dilanjutkan hingga ke tengah malam.
Beliau berkata syarikat penerbangan juga perlu berlaku adil terutama terhadap golongan mahasiswa yang kebanyakannya memilih membeli tiket penerbangan pada harga murah.
"Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) perlu meningkatkan pemantauan harga tiket dan jadual penerbangan bagi membolehkan ramai rakyat dapat pulang mengundi.
"Saya akan minta mereka (MAVCOM) melihat kemudahan dan fasiliti yang ada dan gunakan sebaik mungkin. Bagi pengangkutan darat pula, saya memberi jaminan semuanya (pengangkutan darat) mencukupi sepanjang tempoh berkenaan (PRU15)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Sukan Negara Daerah Batu Pahat dan pemberian Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM) di sini hari ini.
Berkenaan BLKM, Wee yang juga penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam berkata setakat ini kira-kira 2,000 golongan B40 seluruh negara telah menerima manfaat inisiatif itu sejak dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 13 Mac lepas.
Menurut Wee antara kawasan paling banyak menerima manfaat BLKM adalah kawasan pedalaman Pahang, Sabah dan Sarawak manakala pada hari ini seramai 107 penduduk di Parlimen Ayer Hitam menerima manfaat berkenaan.
"Melalui program ini, golongan B40 mendapat bantuan untuk memiliki lesen kelas B2 yang sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Diharapkan golongan berkenaan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik sekali gus mampu meningkatkan taraf sosioekonomi dan mempertingkatkan momentum penciptaan peluang pekerjaan, yang akan turut memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia," kata beliau.
-- BERNAMA