Webinar: Sejauh manakah kebebasan media hari ini?

Ehsan A Marisah
Mei 1, 2021 20:42 MYT
Tarikh 3 Mei dipilih sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Setiap tahun, tanggal 3 Mei dipilih sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
Ia bagi menghormati komitmen para petugas media yang berjuang dalam isu-isu kebebasan akhbar serta etika profesional kewartawanan.
Sokongan terhadap media yang menjadi sasaran terhadap sekatan, pemansuhan dan kebebasan suara turut ditonjolkan selain memperingati petugas media serta wartawan yang kehilangan nyawa dalam menyampaikan cerita.
Mengangkat tema “Maklumat Sebagai Kebaikan Awam”, ia adalah seruan untuk menjaga kepentingan sumber maklumat, penerokaan dan pengeluaran kandungan berita serta memperkasakan ketelusan bagi mengelakkan masyarakat daripada tercicir ke belakang.
Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah, Mohd Khalis berkata, kebebasan media penting bagi sesebuah negara yang mengamalkan corak pemerintahan secara demokrasi.
“Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermakna untuk menyebarkan berita palsu, bertelagah antara satu sama lain tetapi jadikan sebagai platform untuk setiap individu untuk menyatakan pendapat,” katanya menerusi satu kiriman video kepada Astro AWANI.
Sementara itu, media juga berperanan dalam menegakkan suara rakyat demi kebaikan bersama, kata Normasitah Ismail yang merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Saya percaya ia penting untuk sesebuah media mempunyai kebebasan dan telus dalam menyampaikan berita kepada masyarakat,” katanya.
Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fatin Natasha pula, ia sangat wajar kerana membolehkan media melaporkan berita-berita sahih dan mengelakkan penipuan.
“Dengan itu, kita akan melahirkan masyarakat yang peka terhadap isu-isu semasa terutamanya golongan anak muda dan menerima sudut pandang berbeza,” ujarnya.
Kebebasan media hari ini untuk hari esok yang cerah
Pun begitu, di Malaysia, media yang sering kali dianggap fungsinya sebagai suara rakyat atau suara demokrasi itu seakan bobrok apabila negara jatuh 18 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021, seperti yang diumumkan 17 April lalu.
Indeks tersebut dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (Reporters Sans Frontieres) menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-119.
Justeru, apakah cerminan sebenar kebebasan di negara ini? Masihkah wujud kekangan dalam kalangan wartawan untuk melaporkan berita sahih?
Adakah setiap kebebasan itu masih ada batas-batasnya?
Sertai kami dalam diskusi secara mendalam menerusi webinar AWANI - The New Normal Series S32 membincangkan isu ‘Kebebasan Media Hari Ini Untuk Hari Yang Cerah’ yang akan diadakan dalam dua sesi dikendalikan oleh Penyampai Astro AWANI, Hafizi Rosli.
Sesi pertama akan membicarakan tentang ‘Media Malaysia: Sudah 2021 Tapi Belum Bebas?’ dan disertai Pensyarah Kanan (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Khairie Ahmad, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Pegawai Program Pengukuhan Belia Centre for Independent Journalism (CIJ), Loshana K. Shagar.
Sesi kedua pula membincangkan topik ‘Apa Orang Muda Mahu Dari Media, Kini dan Esok?’ disertai Wartawan Astro AWANI, Hasimi Muhamad; Pengasas Bersama UNDI18, Qyira Yusri; Pengarah Projek “What Say Youth” podcast, Loh Mei Ling dan Pelajar Kewartawanan Universiti Sains Malaysia, Siti Nur Amirah Mohd Zaini.
Daftar sekarang di www.linc.astroawani.com, 3 Mei ini, jam 11.30 pagi.
#Media #Kebebasan Media #demokrasi #suara rakyat #Centre For Independent Journalism #CIJ #LINC #universiti #Malaysia #komunikasi #journalism
;