Webinar kerjaya tingkat kebolehpasaran dalam norma baharu - Perkeso
Ehsan A Marisah
Februari 24, 2021 17:18 MYT
Februari 24, 2021 17:18 MYT
KUALA LUMPUR: Cakna dengan kesukaran dihadapi kebanyakan pekerja akibat COVID-19, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan siri webinar kerjaya percuma bagi membantu mereka yang terkesan meningkatkan kebolehpasaran diri.
Mengangkat tema “Kebolehpasaran Pekerjaan Dalam Norma Baharu”, webinar yang berlangsung dari 9.30 pagi hingga 5.30 petang itu mengupas realiti semasa pasaran buruh di Malaysia, perlindungan kepada golongan terjejas serta membimbing pencari kerja menentukan hala tuju kerjaya.
“Antara topik yang dikupas adalah ‘Persiapan Calon Untuk Menghadapi Cabaran Baru Di Era COVID-19’; ‘Pencarian Pekerjaan: Tips, Panduan Dan Contoh Inspirasi’; ‘Promosi Kesedaran Perkhidmatan Pembangunan Kerjaya’ dan ‘Penggunaan Maklumat Pasaran Buruh Untuk Penilaian Kendiri Pekerjaan’.
“Sesi webinar ini juga mengetengahkan barisan panel jemputan dari dalam dan luar negara melibatkan pakar industri, wakil majikan dan penyedia khidmat latihan.
“Ini termasuklah wakil dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan WCC Group Corporate, sebuah syarikat antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan pekerjaan untuk sektor swasta dan awam,” menurut Perkeso dalam satu kenyataan pada Selasa.
Webinar tersebut juga diadakan bersempena Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia yang berlangsung sehingga 26 Februari ini dan pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my.
Peserta yang terlibat akan menerima e-sijil penyertaan, peluang menang hadiah menarik seperti jam tangan pintar Apple Watch Series 6 dan banyak lagi.
Untuk rekod, sebanyak 132 webinar kerjaya telah dianjurkan oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Perkeso sepanjang tahun lalu dan 28 webinar setakat Februari ini.
“Antara topik yang dibincangkan sebelum ini meliputi tip pekerjaan dalam norma baharu, pendedahan kepada kemahiran bagi memenuhi keperluan majikan, simulasi temu duga sebenar serta perkongsian pemain-pemain industri.
“Pencari kerja amat digalakkan untuk berdaftar melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs bagi mendapatkan maklumat kekosongan dan padanan pekerjaan terkini,” katanya.
*Kandungan dalam artikel ini adalah hasil kerjasama bersama Perkeso.
#webinar kerjaya
#perkeso
#COVID-19
#majikan
#pekerjaan
#MyfutureJobs
#Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara
#PenjanaKerjaya
#PENJANA