#WeBelangTogether: Syamer azam sekat kemaraan jentera serangan Vietnam
Bernama
Disember 14, 2018 07:00 MYT
Disember 14, 2018 07:00 MYT
Pemain tengah yang turut membantu bahagian pertahanan Harimau Malaya, Mohamed Syamer Kutty Abba berazam untuk menyekat setiap gerakan jentera serangan Vietnam yang di ketuai penyerang berbisa mereka, Nguyen Quang Hai.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau mahu memperkemaskan permainannya terutama sewaktu pasukan Vietnam melancarkan serangan balas dengan menyekat gerakan itu sebelum masuk kawasan tengah Malaysia.
"Pada perlawanan lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil, mungkin kesilapan saya yang kurang mematahkan gerakan serangan balas Vietnam sehingga mereka berjaya menjaringkan gol.
"Untuk perlawanan akan datang ini, tidak dinafikan bahawa kesilapan itu memang akan berlaku tetapi saya akan cuba sebaik mungkin untuk mengurangkannya," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di padang latihan Stadium My Dinh.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata dengan kembalinya pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak untuk beraksi semula, ini telah melonjakkan lagi motivasi rakan sepasukan untuk mencapai kemenangan pada malam esok.
"Kita semua tahu pengalaman yang ada pada Aidil dapat membantu barisan pertahanan, serta Syazwan juga bermain sangat baik sebelum beliau mengalami kecederaan.
"Jadi, ia akan menjadi ramuan terbaik untuk pasukan dalam usaha membawa pulang Piala AFF ke Malaysia pada edisi kali ini," katanya.
Pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu, Vietnam berjaya mendapatkan dua gol di tempat lawan di mana perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan 2-2.
Malaysia berpeluang untuk merangkul kejuaraan kali kedua Piala AFF Suzuki sekiranya berjaya menundukkan Vietnam, malam Sabtu.
-- BERNAMA
#harimau Malaya
#Malaysia
#Mohamed Syamer Kutty Abba
#Nguyen Quang Hai
#Piala AFF Suzuki 2018
#Stadium My Dinh
#Vietnam
#WeBelangTogether