WCIT 2022 buka tirai, jadi 'temasya Olimpik' penggiat industri teknologi, inovasi

Harits Asyraf Hasnan
September 12, 2022 07:07 MYT
Dianggap sebagai temasya Olimpik bagi penggiat industri teknologi dan inovasi, lebih 4,000 delegasi dari lebih 80 negara telah mengesahkan kehadiran pada program tiga hari ini. - Foto WCIT 2022
BAYAN BARU: Berbilion jaringan dalam talian antara individu, perniagaan, maklumat, data, infrastruktur, peranti dan proses kini memacu inovasi dan mengubah segala-galanya.
Susulan itu, antara persoalan yang timbul ketika ini termasuk, adakah perniagaan anda semakin berkembang atau berada pada kadar yang sama?
Adakah anda menukar strategi dan mengukur kesan persaingan anda dengan baik?
Landskap yang berubah ini adalah peluang besar dalam menjadikan ekonomi digital relevan kepada anda, sekali gus menjadikan anda relevan kepada dunia.
Ini antara persoalan yang bakal terjawab dalam Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 yang membuka tirai selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 September depan.
Dengan populasi 655 juta penduduk di Asia Tenggara, WCIT 2022 menyasarkan untuk menyambung dan memperkasakan jaringan serta kerjasama transformasi melalui ekonomi digital.
Google mengunjurkan pertumbuhan Asia Tenggara akan meningkat tiga kali ganda kepada USD240 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang hasil daripada penggunaan teknologi, inovasi digital dan pelaburan asing.
Justeru, WCIT 2022 yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini bakal menjadi pintu masuk transformasi ke Asia Tenggara yang menjadi peluang besar pembangunan masa hadapan.
Dianggap sebagai ‘temasya Olimpik’ bagi penggiat industri teknologi dan inovasi, lebih 4,000 delegasi dari lebih 80 negara telah mengesahkan kehadiran pada program tiga hari ini.
Pada majlis ini, lebih 10 ucaptama khas bakal berlangsung dengan disulami beberapa siri pleno menerusi penglibatan lebih 200 jurucakap.
Antara topik yang bakal mendominasi pertemuan pemain industri peringkat antarabangsa ini termasuk teknologi angkasa, perkhidmatan perniagaan global, pendidikan, unicorn Asia Tenggara dan bandar pintar.
Antara lain termasuk Metaverse, pembangunan ekonomi inklusif, keselamatan siber, kesihatan, 5G, NFT dan kelestarian.
Astro AWANI akan membawakan laporan komprehensif sepanjang persidangan antarabangsa ini berlangsung menerusi pelbagai platformnya.
#WCIT 2022 #teknologi #inovasi #ekonomi digital
;