WCE perkukuh kerjasama dengan Perhilitan pastikan keselamatan pengguna, ekosistem

Astro Awani
Mac 21, 2024 00:09 MYT
Bangkai harimau dahan ditemui di tepi besi penghadang lebuh raya itu dipercayai telah dilanggar kenderaan. - Foto ihsan pembaca
KUALA LUMPUR: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan mengukuhkan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melaksanakan langkah proaktif dalam memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan ekosistem setempat.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut melibatkan pemantauan dan penyeliaan berterusan bagi memastikan insiden melibatkan haiwan liar di sepanjang laluan lebuh raya tidak berulang pada masa hadapan.
"Sebagai pengendali lebuh raya, WCE sangat komited dalam memastikan ekosistem alam sekitar di sepanjang jajarannya kekal terpelihara serta keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan.
"WCE telah menjalankan pelbagai usaha termasuk pembinaan dua lintasan hidupan liar di kilometer 249.7 dan kilometer 248.3 jajaran Seksyen 11 ini untuk melindungi habitat dan kelestarian hidupan liar," katanya dalam reaksi terhadap laporan penemuan bangkai seekor harimau dahan di Kilometer 253.3 WCE, Seksyen 11 arah Trong menghala ke Beruas.
Bangkai itu yang ditemui di tepi besi penghadang lebuh raya itu dipercayai telah dilanggar kenderaan.
WCE menasihati pelanggan lebuh raya supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada semasa memandu serta ikuti had laju untuk keselamatan diri semasa dalam perjalanan.
#lebuh raya #Perhilitan #harimau dahan #keselamatan diri
;