Waythamoorthy: Palanivel harus bincang dengan PM jika tidak puas hati

T K Letchumy Tamboo
Mei 24, 2013 23:00 MYT
Jika Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mahukan Unit Hal Ehwal kaum India di bawah Jabatan Perdana Menteri diletakkan di bawah kepimpinan parti itu, beliau harus berbincang mengenai perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Itu pandangan pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam barisan kabinet baru-baru ini.
Waythamoorthy berkata permintaan Palanivel itu hanyalah pendapat beliau.
"Itu adalah pandangan beliau. Perdana Menteri telah melantik saya untuk mengendalikan unit itu. Ia akan menjadi sebahagian daripada kerja saya apabila saya memulakan tugas pada 5 Jun.
“Kalau Palanivel tidak berpuas hati dengan perkara itu, beliau boleh berjumpa dengan Perdana Menteri untuk membincangkannya,” kata Waythamoorthy kepada Astro Awani.
Apabila ditanya sama ada beliau bersedia untuk bekerjasama dengan MIC untuk kebaikan masyarakat India, Waythamoorthy berkata, beliau akan bekerjasama dengan kerajaan.
"Akhbar-akhbar Tamil telah menyalah petik kenyataan saya dengan mengatakan bahawa saya tidak bersedia untuk bekerjasama dengan MIC. Saya tidak pernah berkata begitu. Saya hanya berkata bahawa saya akan bekerjasama dengan kerajaan," katanya.
Semalam, Palanivel berkata MIC adalah parti induk bagi masyarakat India sejak 1946, dan oleh itu, beliau mahu Unit Hal Ehwal kaum India diletakkan di bawah kepimpinan parti itu dan bukan Hindraf.
"Unit itu perlu diletakkan di bawah MIC. Kita tidak boleh ada dua pertubuhan dengan fungsi yang berbeza untuk masyarakat yang sama.
"MIC adalah parti induk bagi masyarakat India sejak 1946 dan kita melakukan kerja yang baik dan meneruskan usaha menangani masalah yang sudah begitu lama," katanya.
#MIC #Palanivel #Unit Hal Ehwal kaum India #Waythamoorthy