Waytha perlu dengar suara rakyat dan mohon maaf - Rina Harun

Azyyati Ahmad
Disember 21, 2018 20:40 MYT
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata itu adalah jalan yang sebaiknya dan Waytha Moorthy juga perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku.
Langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy adalah mendengar suara rakyat termasuk memohon maaf bagi meredakan keresahan susulan pelbagai desakan ke atas perletakan jawatannya.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun berkata itu adalah jalan yang sebaiknya dan Waytha Moorthy juga perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku.
“Beliau kena melihat, mengambil iktibar pandangan rakyat, mungkin sesuatu perlu dilakukan seperti memohon maaf bagi mengurangkan keresahan rakyat,
“Bagaimanapun, saya berpandangan isu perletakkan jawatan beliau perlu diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Wawancara Khas Sempena Perhimpunan Agung Bersatu di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya pada Jumaat.
Pelbagai organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi mendesak Waytha Moorthy melepaskan jawatannya kerana dikatakan gagal menyelesaikan dan menangani isu rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Mariamman Subang Jaya, bulan lalu.
Beberapa NGO sebelum ini juga membuat petisyen bagi mengumpul tanda tangan mendesak senator itu meletakkan jawatan berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam tragedi rusuhan berkenaan.
#Bersatu #Ketua Srikandi Bersatu #Petaling Jaya #Rina Harun #Waytha Moorthy
;