Wawasan Kemakmuran Bersama antara agenda utama Dr Mahathir di pentas PBB

Harits Asyraf Hasnan
September 23, 2019 07:00 MYT
Dr Mahathir dijadual menyampaikan ucapan bertajuk "Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua" pada program sampingan. -Foto fail Astro AWANI/Shahir Omar
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal kembali sekali lagi ke pentas antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-74 tahun ini.
Beliau yang dijadual tiba pada tengah hari Selasa waktu tempatan bakal membuka lembaran proaktif kerajaan terhadap dasar dan peranan PBB seiring dengan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang dilancarkan beliau seminggu lalu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kemuncak lawatan lima hari Dr Mahathir yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali itu pastinya sesi debat umum yang dijadual pada petang 27 September ini waktu tempatan.
“Mengambil kira pada tahun lalu, Dr Mahathir mengulangi seruan yang sering beliau sebut sebelum ini iaitu tentang reformasi PBB.
"Saya jangkakan dalam ucapan kali ini, beliau akan terus menekankan soal kepentingan menghormati institusi dan peraturan antarabangsa.
“Sekalipun institusi dan peraturan antarabangsa itu tidak sempurna tetapi kita tiada pilihan melainkan sambil kita mereformasi institusi dan peraturan antarabangsa, kita harus mematuhinya kerana konsep multiliteralisme ini adalah konsep yang dipercayai kerajaan sejak dahulu termasuk dalam pentadbiran hari ini.
"Kita lihat ini antara perkara yang sekarang ini berhadapan dengan banyak cabaran,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia sempena Perhimpunan Agung PBB di sini pada Isnin.
Jelas Saifuddin, Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan Dr Mahathir baru-baru ini menjadi teras kepada pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), yang menjadi antara agenda penting pada lawatan ini.
Selain Saifuddin, menteri Kabinet yang akan turut bersama misi lawatan kerja kali ini ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Secara keseluruhan terdapat hampir 100 mesyuarat dan pertemuan melibatkan pelbagai peringkat.
Selain debat umum, Dr Mahathir dijadual menghadiri lebih 20 mesyuarat dan pertemuan peringkat tertinggi termasuk bersama beberapa rakan sejawatnya seperti Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan; dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.
Sebaik tiba di New York petang Selasa waktu tempatan, Dr Mahathir akan menghadiri Program Sampingan Pemimpin Tertinggi: 'Krisis Rohingya – Menuju Ke Hadapan' bersama rakan sejawatnya dari Bangladesh, Sheikh Hasina.
Pada Rabu, Dr Mahathir akan menyampaikan ucapan pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University diikuti Sidang Kemuncak Dialog Pemimpin Keenam SDG: 'Visi 2020-2030' bersama Wakil Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan Menteri Luar dan Promosi Perdagangan Malta, Carmelo Abela.
Dr Mahathir juga dijadual menyampaikan ucapan bertajuk 'Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua' pada program sampingan di Bangunan PBB.
Beliau sebelum itu akan menghadiri mesyuarat bersama Anggota Majlis Hubungan Luar (CFR) dan Forum Pelaburan JP Morgan.
Pada sebelah malam pula, beliau dijadual menghadiri Majlis Makan Malam bersama Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN dan Dewan Perniagaan Amerika Syarikat.
Pada Jumaat pula, beliau dijadual menghadiri Majlis Makan Tengah Hari bersama delegasi Malaysia sebelum menyampaikan ucapan pada sesi debat umum di Bangunan PBB pada sebelah petang, diikuti sidang media bersama media antarabangsa.
Sebelum berlepas ke London, Dr Mahathir akan mengadakan sidang media penutup bersama media Malaysia yang membuat liputan sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-74.
#Dr Mahathir PBB #Kerangka Dasar Luar #MahathirUNGA #PBB #Perhimpunan Agung PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Tun Dr Mahathir Mohamad #UNGA #Wawasan Kemakmuran Bersama
;