Wawasan 2020 gagal, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mampu dicapai - PM
Harits Asyraf Hasnan
Disember 31, 2019 20:00 MYT
Disember 31, 2019 20:00 MYT
Selepas mengilhamkan Wawasan 2020 sewaktu kali pertama menerajui pentadbiran Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akui sasaran itu gagal dicapai sepenuhnya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yakin menerusi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, ia mampu dicapai seiring hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berstatus maju.
"Tahun 2020 agak signifikan di hati saya. Semasa saya menerajui pentadbiran Malaysia pada kali pertama, Kerajaan menerusi Wawasan 2020 ketika itu telah menyasarkan tahun ini sebagai tahun bagi negara kita mencapai taraf negara maju.
"Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sedar bahawa sasaran itu tidak dapat kita capai sepenuhnya dan kerana itu kita telah menyediakan blueprint yang baharu yang kita kenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Dalam lain perkataan, kita telah melanjutkan sasaran tersebut ke tahun 2030 dan kita percaya, kita akan dapat mencapai objektif tersebut," katanya dalam Perutusan Sambutan Tahun Baharu 2020.
Beliau pada masa sama memohon setiap lapisan masyarakat untuk bersama-sama dengan Kerajaan untuk bukan sahaja memajukan negara, malah turut sama memajukan diri.
"Walaupun kita tidak dapat mencapai sasaran negara maju sepenuhnya tetapi ada beberapa perisian negara maju yang boleh kita lakukan.
"Nilai-nilai seperti rajin, berdisiplin, menjaga kebersihan, bersifat tolak-ansur, hormat menghormati, berbudi bahasa dan berjiwa besar adalah ciri-ciri yang membeza kita dari mereka yang tidak maju dan mundur.
"Sifat-sifat mulia ini mewakili kesemua budaya, agama dan bangsa dan kepelbagaian Malaysia seharusnya membuat kita lebih peka kepada nilai-nilai tersebut," katanya.
Justeru, Dr Mahathir meminta rakyat Malaysia untuk meraikan persamaan dan masa sama mengenepikan perbezaan.
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#perutusan tahun baharu
#Tun Dr Mahathir Mohamad
#Wawasan Kemakmuran Bersama