Waspada tiga lokasi ‘blackspot’ di Negeri Sembilan - Polis

Bernama
Februari 6, 2024 14:30 MYT
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Khalid Othman (tengah) menjawab pertanyaan media pada Kempen Keselamatan Jalanraya dan Advokasi Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Nilai, hari ini. - Foto Bernama
NILAI: Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada ketika melalui tiga lokasi 'blackspot' yang kerap berlaku kemalangan maut di Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Khalid Othman berkata lokasi tersebut ialah Jalan Port Dickson-Lubuk China, Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang (Jelebu) dan Kuala Pilah-Jalan Seremban.
Beliau berkata bersempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina, jumlah kenderaan memasuki negeri ini dijangka meningkat sekali gus akan menyebabkan kesesakan luar biasa.
"Statistik perbandingan Operasi Selamat pada 2022 dan tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 307 kes kemalangan jalan raya dengan peratusan 54.4 peratus.
"Jadi, semua pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan anggota penguat kuasa bertugas sepanjang tempoh musim perayaan ini," katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Nilai di sini hari ini.
Selain itu, Abd Khalid berkata antara lokasi laluan hotspot dijangka mengalami kesesakan dijangka berlaku di beberapa tempat di semua daerah negeri ini terutamanya enam lokasi di Seremban, Port Dickson dan Nilai (tiga), dua lokasi di Tampin dan Rembau dan satu lokasi di Kuala Pilah, Jempol, dan Jelebu.
Abd Khalid berkata bersempena perayaan Tahun Baharu Cina ini, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen negeri melaksanakan Op Selamat selama enam bermula 8 Feb-13 Feb dengan kekuatan 309 pegawai dan anggota.
-- BERNAMA
#waspada #lokasi blackspot #kemalangan maut #Polis Negeri Sembilan #Tahun Baharu Cina
;