Waspada tekanan darah tinggi, elak risiko kerosakan jantung - Pakar
Fahmi Izuddin
September 28, 2023 12:45 MYT
September 28, 2023 12:45 MYT
LEBIH 30 peratus orang dewasa di negara ini menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi, menurut Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Dr Beni Isman Rusani.
Kadar ini, iaitu tiga daripada setiap 10 orang dewasa yang terjejas dengan masalah kesihatan tersebut, disifatkan berada pada tahap tinggi.
Bagaimanapun, katanya, masih ada dalam kalangan individu yang tidak sedar mereka mempunyai masalah tekanan darah yang kronik hingga menyebabkan risiko komplikasi kesihatan yang tinggi.
Dr Beni berkata, apabila seseorang individu mencapai tahap komplikasi yang kronik seperti gabungan kluster darah tinggi, kolestrol dan diabetes, wujud keberangkalian untuk mendapat penyakit yang lebih serius seperti kerosakan jantung.
"Jadi, apabila dikatakan ia kluster, apabila seseorang itu sudah ada darah tinggi, kolestrol dan kencing manis, keberangkalian untuk dapat penyakit lain juga tinggi.
"Contoh yang paling dalam dekat dalam praktis saya adalah jantung. Orang yang ada tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan kerosakan pada saluran jantung," katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Khamis.
Selain itu, beliau menegaskan, masyarakat perlu cakna dengan membuat saringan kesihatan berkaitan tekanan darah tinggi pada usia muda dan tidak menunggu hingga umur mencecah lewat 30-an untuk berbuat demikian.
Tambah Dr Beni lagi, hari ini individu dapat mengambil manfaat daripada 'opportunistic approach' dalam melakukan pemeriksaan tekanan darah tinggi yang dianggap mudah diakses.
"Negara kita mengatakan, umur 18 tahun pergi periksa (saringan kesihatan), sekurang-kurangnya sekali dalam setahun bagi umur 18 tahun ke atas.
"Tetapi kalau orang itu ada sejarah keluarga, dia merokok dan mempunyai masalah kesihatan melibatkan kluster kesihatan yang saling berkait rapat, maka janganlah setahun sekali, sebaliknya buatlah lebih kerap.
"Sebenarnya, pendekatan kita lebih kepada opportunistic screening. Apabila kita pergi mana-mana, pergi ke farmasi contohnya, (kalau) nampak mesin (untuk buat saringan), buatlah pemeriksaan.
"Kalau pergi ke rumah saudara mara, ada mesin, periksalah. Jumpa doktor untuk selesema, boleh periksa juga. Pada setiap kesempatan, kita periksa. Tak perlu tunggu umur 30 tahun ke atas," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Beni berkata, rawatan ideal bagi mereka yang berisiko mengalami masalah tekanan darah tinggi adalah melalui pengamalan gaya hidup sihat, penjagaan makanan dan senaman ringkas.
Sementara itu, bagi mereka yang sudah menghidap penyakit tersebut, pemakanan ubat-ubatan yang disediakan oleh pakar adalah perlu dalam mengurangkan risiko komplikasi kesihatan yang lebih kronik pada masa akan datang.