Waspada taktik 'scammer' guna nama pegawai Kementerian Komunikasi

Bernama
April 20, 2024 18:40 MYT
Teo Nie Ching berkata sindiket itu didapati menggunakan maklumat pegawai yang tertera di laman sesawang kementerian seperti jawatan, nama penuh dan nombor telefon mereka. - Gambar fail
KULAI: Orang ramai diminta berwaspada dengan taktik terbaharu scammer yang menggunakan nama Kementerian Komunikasi bagi memperdaya mangsa mereka.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sindiket itu didapati menggunakan maklumat pegawai yang tertera di laman sesawang kementerian seperti jawatan, nama penuh dan nombor telefon mereka.
"Memang kami ada terima panggilan orang awam menyatakan telah dihubungi pegawai kementerian, jika disemak memang itu nombor kementerian. Pihak scammer menggunakan taktik 'masking,' itu cabaran yang kita hadapi.
"Sehingga hari ini, kami dapati dua nama pegawai kementerian telah digunakan bagi tujuan menipu orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Keluarga Kulai di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kulai itu juga berkata setakat Mac tahun ini, pihaknya telah memadam sebanyak 35,500 hantaran media sosial melibatkan unsur penipuan, pelaburan palsu dan perjudian.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 6,987 hantaran melibatkan pelaburan dan penyamaran manakala 28,513 hantaran lain melibatkan kegiatan perjudian.
"Kami nasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terutama yang melibatkan urusan berkaitan kewangan," katanya.
Menyentuh mengenai program hari ini, Teo berkata sebanyak 225 keluarga diraikan dengan juadah Aidilfitri selain menerima sumbangan duit raya termasuk pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.
-- BERNAMA
#lubuk scam #taktik scammer #kementerian komunikasi #Teo Nie Ching
;