Waspada taktik Israel nafi operasi pengintipan di negara asing - Penganalisis

Irfan Faruqi
April 2, 2024 23:01 MYT
Mizan berkata Malaysia perlu sentiasa berwaspada dengan taktik penafian yang digunakan Israel untuk menjalankan operasi pengintipan di negara asing. - foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu sentiasa berwaspada dengan taktik penafian yang digunakan Israel untuk menjalankan operasi pengintipan di negara asing.
Pakar keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mizan Aslam berkata perihal yang sama pernah berlaku dalam kes pembunuhan pakar komputer warga Palestin di Malaysia pada tahun 2018 yang lalu.
“Israel menggunakan taktik yang sama. Mereka melakukan pembunuhan dengan alasan menyasarkan pejuang Hamas. Pada masa yang sama tidak ada pihak yang boleh menafikan naratif yang mereka bawa.
“Maka, taktik yang sama akan dilakukan di negara ini jika Israel hendak membunuh sesiapa sahaja. Mereka akan katakan bahawa operasi tersebut menyasarkan Hamas.
“Seterusnya, mengambil contoh kes pembunuhan pakar komputer warga Palestin, Dr. Fadi Mohammad al-Batsh, pada 2018. Kita dapat maklumat daripada sumber Hamas, bahawa pembunuh itu merupakan sebahagian daripada operasi Mossad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambah Mizan, insiden kali ini menyebelahi Malaysia apabila suspek berjaya diberkas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, cabaran mencari kebenaran mengenai apa sebenarnya berlaku masih nyata.
“Berbezanya kali ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menangkap seorang individu yang memegang pasport Perancis dan pasport Israel.
“Kita lihat Israel sudah tidak dapat lari, tetapi dicipta pula alasan lain, kononnya individu tersebut dalam operasi membunuh warga Israel dan sebagainya. Ini semua jenayah terancang,” ujarnya lagi.
Pada 27 Mac lalu, seorang lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini menggunakan pasport palsu Perancis.
Lanjutan itu, dalam sidang media pada Selasa, Razarudin menyatakan alasan warga Israel yang ditahan, Avitan Shalom, bahawa dia masuk ke Malaysia untuk memburu ‘Aeron’, kononnya disebabkan persaingan keluarga mafia, mungkin sekadar dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.
Tambahnya, keutamaan PDRM ketika ini adalah menentukan motif sebenar lelaki berkenaan, selain memburu lebih dari dua lagi individu lain untuk membantu siasatan.
[LANGSUNG] Sidang media Ketua Polis Negara | 2 April 2024
#Agenda Awani #Israel #Ketua Polis Negara #PDRM #Polis Diraja Malaysia
;