Waspada sindiket penipuan guna nama LHDN perangkap mangsa
Bernama
Ogos 30, 2024 21:30 MYT
Ogos 30, 2024 21:30 MYT
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk emel, pautan yang mencurigakan dan panggilan telefon berhubung isu percukaian serta bantuan khas kerajaan.
Ia susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang melibatkan kes penipuan atau "scammer" dan LHDN tidak terkecuali dikaitkan dengan sindiket penipuan tersebut hingga menyebabkan orang ramai keliru dan tertipu.
"Sindiket penipuan ini menggunakan kaedah teknologi terkini bagi memperdayakan mangsa dengan pelbagai modus operandi.
"Walaupun banyak tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa dan disiarkan di media massa, kes penipuan ini tetap berlaku dan angka kes meningkat saban tahun," menurut LHDN dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu orang ramai disarankan agar tidak mengisi atau memberi sebarang maklumat peribadi di laman sesawang, pautan atau panggilan telefon yang meragukan agar data peribadi tersebut tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
LHDN turut mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan atau membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan pantas dapat diambil bagi membanteras perkara tersebut.
-- BERNAMA