Waspada scammer berleluasa, umat Islam perlu peka, jangan mudah terpedaya

Bernama
Januari 21, 2022 14:44 MYT
Umat Islam dinasihatkan berhati-hati dengan urus niaga berunsur penipuan atau dikenali dengan istilah 'scammer' merupakan jenayah kolar putih bentuk baharu yang semakin berleluasa. - Gambar hiasan
IPOH: Umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tipu muslihat yang dilakukan dan perlu mengambil langkah berhati-hati dan teliti, sebelum membuat sebarang bentuk perkongsian atau pemindahan harta kepada pihak lain.
Jabatan Agama Islam Perak dalam teks khutbah Jumaatnya hari ini menyatakan, urus niaga berunsur penipuan atau dikenali dengan istilah 'scammer' merupakan jenayah kolar putih bentuk baharu yang semakin berleluasa, dengan 1,298 kertas siasatan telah dibuka Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Polis Perak pada 2021.
Teks khutbah itu antara lain menyatakan lebih RM32 juta kerugian ditanggung mangsa yang tertipu tahun lepas, dengan menggunakan modus operandi seperti 'macau scam', 'love scam', penipuan bungkusan, rakan WhatsApp dan skim pinjaman serta pelaburan palsu.
"Ramai anggota masyarakat telah menjadi mangsa kepada sindiket urus niaga yang tidak berakhlak ini. Dilaporkan ramai yang telah hilang wang simpanan akibat ditipu, dan ada pula yang kini terpaksa menghadapi beban hutang yang besar.
"Ada pula iklan yang menawarkan pakej haji dengan potongan harga yang menarik. Oleh itu, khatib mengingatkan ummah agar jangan mudah terjebak," seperti dalam teks Khutbah Jumaat bertajuk 'Berwaspada Dengan Sindiket Penipuan', yang telah diedarkan ke semua masjid dan surau Jumaat di negeri Perak hari ini.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melayan panggilan telefon daripada talian yang tidak dikenali dan segera diputuskan panggilan jika berasa curiga.
"Menyemak semula dengan agensi atau syarikat yang didakwa diwakili oleh scammer atau penipu itu, dan jangan dedahkan maklumat perbankan serta jangan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang baru dikenali," ingatan yang dinyatakan dalam teks khutbah tersebut. - BERNAMA
#scammer #Umat Islam #jenayah kolar putih #khutbah Jumaat
;