Waspada penipuan pekerjaan, semak kesahihan syarikat - KSM

Bernama
Disember 12, 2023 04:00 MYT
Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran pekerjaan terutama yang menjanjikan gaji lumayan di luar negara. - Gambar hiasan
KUANTAN: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran pekerjaan terutama yang menjanjikan gaji lumayan di luar negara, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amran Ahmad.
Justeru, beliau mengesyorkan orang ramai membuat semakan menyeluruh sebelum menerima tawaran kerja dan merujuk pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat perkara yang meragukan.
"Pastikan anda menyemak kesahihan syarikat, baca kontrak pekerjaan dengan teliti, jangan berikan maklumat peribadi yang sensitif secara melulu selain perlu berhati-hati dengan permintaan prabayar yang tidak munasabah.
"Saya yakin, jika kita semua mengamalkan sikap berhati-hati dan saling menasihati, potensi untuk menjadi mangsa penipuan pekerjaan ini pasti dapat dikurangkan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan kementerian berkenaan, di sini, pada Selasa.
Beliau turut meminta orang ramai menasihati ahli keluarga dan rakan masing-masing berkaitan bahaya penipuan pekerjaan, malah masyarakat boleh menggunakan portal pekerjaan yang disediakan pihak kerajaan seperti MyFutureJobs untuk melihat tawaran kerja.
Mengenai Hari Bertemu Pelanggan, Amran berkata sebanyak 1,250 kehadiran pelanggan direkodkan pada program itu sejak Januari hingga November lepas, selain menerima 560 pelbagai kes dengan lebih 90 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
"Program ini berjaya membuka ruang dan peluang komuniti setempat untuk berinteraksi dengan lebih mudah dan segala aduan serta pertanyaan boleh disalurkan secara terus kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian ini," katanya. - BERNAMA
#Kementerian Sumber Manusia #Penipuan Pekerjaan #tawaran pekerjaan #luar negara
;