Waspada penipuan dan iklan jawatan kosong - Pos Malaysia

Bernama
Julai 17, 2021 06:00 MYT
Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.
Pos Malaysia, dalam kenyataan semalam, berkata penipuan tersebut menjadi semakin tersebar dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi lain.
"Kami menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat tersebut dengan tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon atau perkhidmatan pesanan teks (SMS/WhatsApp), e-mel atau kaedah lain. Paling penting, jangan klik pautan yang dihantar bersama mesej penipuan itu.
"Tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web/portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia," menurut kenyataan itu.
Pos Malaysia berkata wujud penipuan melalui e-mel dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar untuk menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan.
Katanya e-mel seperti itu harus diabaikan atau dipadam dengan segera.
Selain itu, ia juga meminta orang ramai berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia serta disaran mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.
Menurutnya kekosongan jawatan hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah seperti JobStreet atau di platform media sosial rasmi Pos Malaysia.
"Pos Malaysia sentiasa melindungi pelanggan dan komited dalam memastikan semua maklumat peribadi dan transaksi kekal dan terjamin," menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, jenis penipuan dan saluran pelaporan dengan melayari https://www.pos.com.my/news-info/online-security-fraud-and-scams.html.
-- BERNAMA
#penipuan #iklan jawatan kosong #pos malaysia #panggilan telefon #pesanan teks #kad kredit
;