Waspada pecah rumah musim raya
Sinar Harian
April 21, 2023 10:16 MYT
April 21, 2023 10:16 MYT
SHAH ALAM: Penjenayah akan melihat ruang dan peluang untuk menceroboh kediaman yang ditinggalkan penghuni khususnya ketika musim perayaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, meskipun kadar jenayah di Selangor mencatat penurunan sejak lima tahun lalu, namun indikator itu tidak bermaksud kegiatan jenayah itu tidak berlaku.
Beliau berkata, perbuatan mencuri atau menceroboh rumah akan berlaku sekiranya pemilik rumah itu sendiri kurang berwaspada terhadap tahap keselamatan sekeliling.
“Golongan oportunis atau mereka yang suka ambil peluang ini pastinya akan mengambil kesempatan daripada kelekaan orang ramai termasuk melakukan jenayah curi dan pecah rumah.
“Penjenayah kebiasaannya terdiri daripada seorang atau berdua dan bukan bersindiket.
“Siasatan polis mendapati modus operandi penjenayah ini adalah meninjau lokasi dan kediaman yang ditinggalkan penghuni berdasarkan keadaan rumah seperti bil elektrik yang tidak diambil di peti pos, surat khabar yang dibiarkan di luar rumah dan lain- lain,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, rumah yang sudah disasarkan akan diceroboh melalui tingkap, pintu belakang atau bumbung pada waktu malam hingga awal pagi.
Katanya, antara barang yang menjadi keutamaan penjenayah adalah barang kemas, barangan peribadi seperti komputer riba, telefon bimbit dan jam tangan selain wang tunai.
Mengulas lanjut, sebanyak 2,415 kes pecah rumah dilaporkan di Selangor pada tahun lalu, mengakibatkan kerugian hampir RM22 juta.
“Dalam tempoh itu, seramai 1,032 orang ditahan terdiri daripada 955 lelaki dan 77 wanita,” ujarnya.
Ujarnya lagi, bagi tempoh tiga bulan tahun ini sejak Januari, sebanyak 615 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM73,000 dengan tangkapan seramai 270 orang termasuk 20 wanita.
“Kebiasaannya wanita yang terlibat dalam jenayah ini adalah kekasih kepada suspek atau ahli keluarga.
“Wanita ini memainkan peranan untuk mendapatkan wang hasil pajakan barang di premis pajak gadai,” katanya.
Ditanya mengenai penglibatan warga asing dalam jenayah itu, Hussein berkata, jumlahnya adalah rendah iaitu bawah 20 peratus.
Jelasnya, warga asing yang ditangkap kerana perbuatan pecah rumah adalah 174 orang pada 2022 manakala 55 orang untuk tempoh tiga bulan tahun ini.
Justeru, sebagai langkah keselamatan ketika meninggalkan kediaman, pihak polis mengingatkan penghuni untuk memaklumkan kepada jiran terdekat.
“Antara langkah keselamatan adalah menghentikan seketika tempahan surat khabar secara harian sekiranya ada.
“Pastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan berkunci selain langkah tambahan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV),” jelasnya. - Sinar Harian