Waspada panggilan individu menyamar sebagai pegawai MCMC

Bernama
Mei 28, 2024 16:39 MYT
MCMC menegaskan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan pihaknya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC ataupun menerusi platform media sosial.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam tempoh seminggu yang lepas terdapat peningkatan kes yang diterima oleh pihaknya berhubung isu itu dengan modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.
"Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai MCMC dan memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa telah terbabit dalam kegiatan jenayah dan mendakwa sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam," menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan pihaknya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC ataupun menerusi platform media sosial.
"MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan.
"Pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat peribadi individu," menurut MCMC.
Menurut kenyataan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali .
"Orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call or reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki,"katanya.
MCMC memaklumkan sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk tindakan selanjutnya.
"Orang ramai juga boleh melayari portal Sebenarnya.my untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita yang tidak ditentusahihkan," menurut kenyataan itu sambil menambah kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain.
-- BERNAMA
#MCMC #pegawai MCMC #panggilan oleh individu tidak dikenali #perdaya mangsa
;