Waspada omongan 'social media influencer'
Maziatul Syima Rusly
Januari 10, 2021 08:30 MYT
Januari 10, 2021 08:30 MYT
AMARAH datang dalam pelbagai bentuk.
Ada yang dijelmakan dalam bentuk nasihat, ada yang muncul dalam bentuk peringatan, ada yang diluahkan sebagai suatu kepuasan dan ada juga membuak-buak dengan niat untuk menjatuhkan.
Acapkali kita mendengar seseorang itu merasa kesal atau ralat dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat.
Seperti juga amarah, nasihat juga dijelmakan dalam pelbagai bentuk dan perumpamaan.
Ada yang datang dalam bentuk dorongan, ada yang datang dalam bentuk sokongan dan senyuman, ada yang datang dalam "pelukan kasih sayang" dan tidak ketinggalan yang muncul di kala kita kesepian dan kegelisahan.
Ketika meminta nasihat atau diberi nasihat, timbang taralah sebaiknya terutama apabila ia berkait dengan hal-hal penting di dalam kehidupan seperti kesihatan, kerjaya, kewangan dan perkahwinan.
Sentiasa pasakkan di dalam fikiran bahawa tiada orang lain yang akan bertanggungjawab atau menerima akibatnya selain daripada diri kita sendiri.
Tidak cuba untuk mengajak anda bersikap paranoid atau sentiasa curiga, namun manusia yang jujur dan tidak mempunyai sebarang kepentingan sukar dijumpai terutama dalam menyalurkan "nasihat percuma".
Lazimnya nasihat itu dibayar dan diberi oleh yang pakar dalam bidangnya.
Ipar duai, saudara mara, rakan sekerja dan jiran tetangga yang sentiasa bertegur sapa, bersikap ramah tamah dan memberikan senyuman juga tidak dapat kita ketahui isi hati.
Kawan makan kawan, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, beguile, backstabbing, treachery, betrayal dan lain-lain lagi adalah perkataan yang akan kita dengar dan sebut apabila orang yang sepatutnya dipercayai dan tidak boleh disyaki mula mengkhianati.
Justeru jalan terbaik ialah sentiasa memohon petunjuk Illahi, pastinya akan dilorongkan hati ke arah sesuatu yang baik dan diberkati.
Dasawarsa ini kita juga tidak dapat menidakkan akan perihal kepesatan penggunaan serta pengaruh media sosial di dalam kehidupan kita sehari-hari.
Dalam zaman ledakan "nasihat percuma" dan "free review" berlumba-lumba mencari tempat dan perhatian di paparan media sosial kita, perhatikan dan amati siapakah insan-insan di sebaliknya.
Siapakah penajanya? Siapakah pengaturcaranya dan siapakah pengikutnya?
Menjadikan social media influencer sebagai panduan dalam membuat keputusan adalah satu pemikiran yang tohor dan boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak diiringi dengan "homework" secukupnya.
Beringatlah bahawa tidak semua tindak tanduknya betul, tidak semua "review" yang dibuat adalah jujur dan tidak semua rekomendasi adalah berpaksikan kebenaran dan keabsahan.
Kehidupan dipamerkan di media sosial bukanlah actuality malah ada kalanya ia direka-reka dan seolah mengadaptasi keindahan mimpi ke alam realiti.
Penulisan ini adalah hasil nukilan peribadi penulis. Tidak merujuk kepada mana-mana individu sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia.
Maziatul Syima Rusly ialah pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#nasihat
#nasihat percuma
#Kawan makan kawan
#musuh dalam selimut
#social media influencer
#pelukan kasih sayang