Waspada gelombang kedua: Penduduk kampung Orang Asli kekal berkhemah di lokasi tinggi
Bernama
Disember 30, 2021 18:21 MYT
Disember 30, 2021 18:21 MYT
DENGKIL: Bimbang kemungkinan gelombang kedua banjir, penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang di sini mengambil keputusan untuk tinggal sementara di dalam khemah yang didirikan di lokasi tinggi, tidak jauh dari kediaman mereka.
Kira-kira 20 keluarga Orang Asli kampung itu masih menetap di 21 khemah biarpun banjir yang melanda kampung berkenaan pada 18 Dis lepas telah surut sepenuhnya.
Seorang penduduk, Senja Jampo, 44, berkata meskipun kawasan itu telah memasuki fasa pascabanjir, penduduk masih trauma dan risau untuk tinggal di rumah masing-masing kerana risiko gelombang kedua banjir.
"Penduduk kampung sedia maklum mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir. Oleh itu, semua ambil keputusan untuk menetap sementara di khemah ini... ada yang trauma dan terkejut kerana rumah ditenggelami air.
"Khemah-khemah yang didirikan ini dibeli sendiri oleh penduduk serta disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang memberikan bantuan di kampung ini," katanya kepada Bernama.
Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda, beliau berkata lokasi penempatan sementara itu adalah satu-satunya kawasan yang tidak dinaiki air di kampung tersebut.
"Memang sejak banjir melanda kami tinggal di khemah ini. Banjir kali ini adalah paling teruk sejak 1971 dan semua rumah penduduk di kampung ini ditenggelami air," katanya.
Samsir Bindut, 36, berkata rata-rata penduduk telah melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah masing-masing dan buat masa ini, penduduk hanya akan masuk ke rumah untuk mandi namun akan tidur dan makan di khemah.
"Ini memang langkah berjaga-jaga memandangkan lokasi kampung berisiko dinaiki air kerana terletak berhampiran Sungai Langat," katanya.
Sementara itu, Ramli Ali, 35, berkata walaupun penduduk tidak tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), mereka sentiasa menerima bantuan daripada NGO dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Ada yang datang beri bekalan makanan dan penduduk bergotong-royong untuk menyediakan makanan kerana kami mempunyai segala peralatan memasak," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati pegawai Jakoa turut hadir ke lokasi tersebut untuk membantu penduduk terkesan banjir mengisi borang permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta bantuan lain.
-- BERNAMA