Waspada aktiviti di air, elak bertembung dengan sang buaya! - JBPM Sarawak
Astro Awani
Januari 15, 2021 17:24 MYT
Januari 15, 2021 17:24 MYT
KUCHING: Elakkan sebarang aktiviti air yang membawa kepada pertembungan habitat buaya dan manusia.
Itu tegas Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berikutan beberapa siri aduan insiden melibatkan buaya di beberapa kawasan di negeri itu.
Jelasnya, selain cuaca sejuk, penurunan aktiviti air melibatkan operasi perkapalan, feri dan nelayan secara semula jadi mendorong buaya untuk kembali aktif.
“Mungkin disebabkan kurangnya aktiviti di kawasan berkenaan, yang dahulunya ada aktiviti perkapalan, feri dan sebagainya, buaya ini yang biasanya pasif dan bergerak keluar ke (kawasan) aktiviti manusia.
“Tapi kita boleh lihat aktiviti sekarang ini banyak menggunakan jalan darat, menyebabkan berkurangnya aktiviti di laut dan sungai, lalu buaya-buaya ini menduduki kawasan berkenaan,” jelasnya.
Pesan Henderi kepada penduduk, jangan sesekali bertindak terburu-buru atau bersendirian untuk menangkap atau membunuh buaya.
Pihak berkuasa akan menggunakan khidmat pakar dan peralatan yang sesuai dan lebih selamat untuk menangani sebarang kes yang dilaporkan.
“Seeloknya jangan melibatkan diri dengan binatang buas ini supaya tak berlaku serangan dan sebagainya. Saya juga nasihatkan kepada penduduk kampung, jika ada hasrat untuk menangkap buaya berkenaan, perlulah merujuk kepada pihak lebih mahir seperti Sarawak Forestry dan pihak bomba sendiri untuk dapatkan khidmat nasihat,” ujarnya.
Setakat ini lebih kurang empat laporan kes melibatkan buaya diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sepanjang bencana banjir tiga hari lalu.
Masing-masing di kawasan Lawas, Saratok, Padungan dan Samarahan.
#aktiviti buaya
#musim hujan
#musim sejuk
#kawasan air
#bomba
#JBPM
#serangan buaya
#reptilia ganas
#hidupan liar