Waspada akaun media sosial palsu guna nama Menteri Kerja Raya

Bernama
Julai 10, 2024 05:30 MYT
Tangkap layar akaun media sosial palsu yang menggunakan nama @alexander_nanta_linggi. -Facebook
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meminta orang ramai untuk berwaspada dengan beberapa akaun media sosial palsu yang menggunakan namanya.
Beliau yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu berkata perbuatan tersebut bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan, malah akan disalahgunakan dan memperdayakan orang awam.
"Saya ingin menasihati semua pengguna media sosial supaya tidak mempercayai maklumat palsu tersebut dan hanya mengikuti akaun rasmi," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Nanta juga meminta orang ramai agar melaporkan sebarang akaun mencurigakan yang menyamar sebagai Menteri Kerja Raya atau Ahli Parlimen Kapit.
Menerusi hantaran itu, Nanta turut berkongsi tangkap layar akaun media sosial palsu yang menggunakan namanya iaitu @alexander_nanta_linggi.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #akaun media sosial palsu #perdaya orang awam #maklumat palsu