Wartawan veteran Bahyah Mahmood meninggal dunia

Astro Awani
Jun 19, 2017 07:43 MYT
Kak Bam diingati ramai kerana kelembutan tutur bicaranya selain bakat penulisan yang hebat khususnya dalam kewartawanan hiburan negara. - Foto: Facebook Zulkarnain Zakaria
Wartawan veteran Bahyah Mahmood, 76, yang merupakan bekas pengarang majalah Kumpulan Utusan, URTV, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.20 pagi di Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Allahyarham meninggal dunia setelah lama menghidap kanser hempedu.
Allahyarham merupakan isteri kepada bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Allahyarham Ahmad Idris yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu.
Utusan Online melaporkan, jenazah arwah akan dibawa ke kediaman Allahyarham di Lorong Enggang 3, Keramat pada jam 9 pagi ini untuk disempurnakan, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.
Allahyarham yang mesra dengan panggilan nama penanya, Kak Bam, merupakan wartawan hiburan yang berpengaruh dan popular pada dekad 1970-an hingga 1990-an.
Bakat hebat
Bahyah diingati dalam kalangan teman setugas dan komuniti dalam industri kerana kelembutan tutur bicara dan bakat hebat dalam penulisan.
Mula menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Singapura pada 1965, Bahyah seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967 hingga bersara pada 1996.
Beliau adalah antara wartawan yang menjadi saksi zaman kegemilangan artis antaranya seperti Sharifah Aini, Sudirman, Fauziah Ahmad Daud, Yusof Haslam, Hail Amir, Noor Kumalasari, DJ Dave, Rafeah Buang, Uji Rashid dan Latiff Ibrahim.
Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang juri yang terlibat dalam memberikan anugerah Seniman Agung P. Ramlee dan Biduan Negara Saloma.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas 1991-1993 dan salah seorang yang mengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980.
#artis #bahyah mahmood #BAM #Kak Bam #URTV #veteran #wartawan
;