Wartawan, penyampai Astro AWANI terima anugerah Perkeso

Raja Hisyam Raja Zaid
November 18, 2021 00:06 MYT
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, kepada Nailah pada majlis yang berlangsung pada Khamis malam. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Wartawan yang juga penyampai berita Astro AWANI, Nailah Huda merangkul Anugerah Laporan Berita Media Elektronik Terbaik pada malam Anugerah Media Perkeso 2021.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, kepada Nailah pada majlis yang berlangsung di sini, pada Khamis malam.
Nailah memenangi anugerah itu melalui laporan bertajuk 'Ulang Tahun ke-50 Prihatin sebagai ‘DNA’ Perkeso yang disiarkan di saluran Astro AWANI, sebelum ini.
Ditemui selepas penyampaian anugerah itu, Nailah mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sentiasa menjalinkan kerjasama rapat dengan media untuk menyalurkan maklumat yang sahih dan tepat.
"Ini adalah kerjasama yang baik terjalin antara Perkeso dan juga rakan-rakan media dalam memastikan berita-berita berkualiti yang dapat meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan, kebajikan dan hak pekerja sampai kepada masyarakat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepada semua pihak terutamanya Astro AWANI yang sentiasa memberi ruang dan peluang buat saya, Perkeso dan tak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan," katanya.
Sebanyak 22 anugerah disampaikan Perkeso kepada pengamal media pada majlis berkenaan yang dihadiri wakil-wakil media daripada pelbagai agensi berita.
#Nailah Huda #Astro Awani #anugerah Perkeso #M Saravanan
;