Wartawan Malaysia mati tertembak di Lubnan

Astro Awani
Februari 3, 2013 18:49 MYT
Wartawan Malaysia Claudia Theophilus, 42, penerbit di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, mati dipercayai akibat terkena tembakan dalam satu insiden di Baakleen yang terletak
di sebuah kawasan pergunungan di Lubnan, semalam.
Duta Besar Malaysia di Lubnan, Ilango Karuppannan berkata menurut laporan awal polis, tiada elemen jenayah dalam kejadian yang menimpa Claudia pada kira-kira 2.30 pagi waktu Lubnan.
"Sebaliknya, ia berlaku secara tidak sengaja yang mana dia (Claudia) terkena tembakan dari satu senjata api," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata mayat Claudia akan dibawa pulang selepas segala urusan forensik dan bedah siasat selesai dijalankan.
Menurutnya, Claudia berkunjung ke Baakleen bersama dua rakannya yang merupakan rakyat Lubnan.
Laporan media menyebut mangsa tiba di Lubnan pada 28 Jan lalu untuk melawat kawannya di negara itu.
Menurut laporan itu, Claudia terkena tembakan ketika beliau dan dua rakannya sedang 'bermain' dengan beberapa laras senapang sebelum senjata itu tiba-tiba meletup.
Mendiang pernah bekerja dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini.
Sementara itu, keluarga mendiang ketika dihubungi Astro Awani di Seremban enggan megulas lanjut.
Bagaimanapun, di kalangan rakan-rakanya, berita kematiannya mengejutkan.
Pengalaman itu dikongsi rakan setugas Claudia, Husna Yusop yang pernah bersama-sama bertugas di akhbar The Sun.
Husna berkata beliau terkejut mendengar berita tentang Claudia.
“Saya bekerja dengan dia (Claudia) di The Sun 2002. Dia memang aktif dalam Kesatuan Sekerja dan dia memang seorang yang berani.”
“Kali terakhir saya menghubungi dia ialah melalui Facebook. Saya memang terkejut dengan berita ini," kata Husna.
#Claudia Theophilus #ditembak #wartawan
;