Wartawan main peranan mendidik, pencetus idea - PM
Madiha Abdullah
Jun 9, 2023 00:30 MYT
Jun 9, 2023 00:30 MYT
KUALA LUMPUR: Wartawan memainkan peranan besar sebagai pembimbing untuk mencetuskan idea menerusi pelaporan berita yang sahih dan telus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaporan yang tepat, sahih dan membina mampu membantu membentuk tatakelola pemimpin dan pentabiran lebih baik.
“Tugas wartawan itu tidak hanya melapor, tetapi juga memimpin, menjadi pendorong idea. Tidak boleh kita lapor tanpa nilai kerana kehilangan nilai akan membuatkan kita diheret sehingga boleh mencetuskan keruntuhan masyarakat.
"Sebab itu saya masih tuntas dengan pandangan tugas wartawan bukan sekadar melaporkan tetapi membimbing idea kepada negara," katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 pada Jumaat.
Perdana Menteri juga menyeru warga media untuk sama-sama menggalas tanggungjawab mendidik masyarakat menanam minat membaca dan menimba ilmu pengetahuan.
Minat membaca, jelas Anwar, akan membolehkan sesuatu isu yang timbul termasuk yang membabitkan negara, difahami dengan lebih mendalam.
"Pengamal media perlu membantu untuk memberi penekanan supaya Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai negara yang bercambahnya institusi pendidikan tetapi mengangkat kefahaman rakyat.
"Ia boleh dilakukan melalui kefahaman dengan membaca akhbar atau media sosial dengan isu-isu yang ditulis dengan yakin dan memberi kefahaman yang baik," katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta timbalannya Teo Nie Ching; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dan Naib Presiden Eksekutif Petronas, Liza Mustapha.
Wartawan Astro AWANI, Mohamad Hilmi Abdul Malik serta jurukamera, Md Khair Nizam Ab Rashid dan Mohd Nasruddin Abdul Samad memenangi gangsa bagi kategori Dokumentari Video Terbaik menerusi laporan khas berjudul Hidup Bersama Bencana.