Wartawan kerja murni, sanggup risiko diri demi salur maklumat kepada masyarakat

Bernama
Mei 25, 2022 06:30 MYT
Wartawan merupakan kerjaya yang murni dan dianggap sebagai wira tidak didendang kerana sanggup mengharungi bahaya. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Wartawan merupakan kerjaya yang murni dan dianggap sebagai wira tidak didendang kerana sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri demi melaksanakan tugas.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata profesion itu juga sentiasa diperlukan negara dalam menyalurkan pelbagai maklumat kepada masyarakat.
"Sejak 1992 sehingga kini di seluruh dunia, sebanyak 1,500 wartawan terkorban semasa bertugas...itulah pengobanan mereka dan sebab itu nak jadi wartawan ini perlu ada keberanian, kesungguhan dan komitmen termasuk menyediakan berita dengan cepat.
Kami sentiasa menghargai segala pengorbanan yang diberikan wartawan...masa saya (bertugas) di ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dulu, bila berlaku penculikan pada 2 pagi, pada 2.30 pagi saya sudah dapat panggilan daripada wartawan untuk dapat maklumat terkini untuk disampaikan kepada masyarakat, malah dalam operasi juga mereka ikut sekali untuk ke pulau naik bot, hujan atau ribut juga mereka ikut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk "Mengangkat Suara Jelata, Mendukung Aspirasi Negara" terbitan Bernama TV pada Rabu.
Tajuk itu mengangkat tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, "Suara Jelata, Aspirasi Negara" yang akan disambut pada Ahad ini di Melaka.
Ditanya sama ada laporan yang disampaikan media rasmi kerajaan masih relevan dan meyakinkan, beliau berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menawarkan berita dan maklumat yang sahih serta berwibawa.
Katanya, media alternatif masih bergantung kepada RTM dan Bernama dan menjadikan dua sumber ini sebagai rujukan untuk memastikan sebarang makumat yang disampaikan tidak meragukan.
-- BERNAMA
#hari wartawan #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #profesion #Hawana
;