Wartawan Israel perlu adil, perjuangkan juga hak rakyat Palestin - Wartawan Veteran Malaysia

Firdaus Azil
Mei 16, 2021 15:37 MYT
Sekumpulan tokoh wartawan Malaysia mendesak pengamal media Israel untuk turut sama perjuangkan nasib dan hak rakyat Palestin. - Gambar fail/PCOM
KUALA LUMPUR: Wartawan Israel perlu tahu menggunakan hati nurani mereka, biarpun dalam membuat pemberitaan mengenai negara mereka sendiri, tegas sekumpulan tokoh wartawan Malaysia dalam satu kenyataan hari ni.
Dalam kenyataan tersebut, kumpulan yang dikenali sebagai Wartawan Veteran Malaysia berkata, dalam membuat pemberitaan, fakta yang jelas perlu juga diberikan mengenai hak rakyat Palestin yang telah tertindas sekian lama.
“Kami menuntut para wartawan Israel untuk bertindak sebagai “conscience” negara itu. Apa yang berlaku bukan tentang apa yang selalu didakwa sebagai “hak Israel untuk wujud'.
“Para wartawan Israel patut menyuarakan hak rakyat Palestin untuk hidup sama. Mereka telah dinafikan hak asasi dan maruah akibat kekejaman yang diperlakukan ke atas mereka selama lebih tujuh dekad,” menurut kumpulan itu lagi.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Husamuddin Yaakub, Datuk Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab, dan Datuk Ahirudin Attan.
Dalam kenyataan yang sama, mereka turut mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera udara Israel yang telah memusnahkan Menara Al-Jalas dimana terletaknya pejabat Associated Press (AP) dan Al-Jazeera.
Mereka berkata, ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam era ini bagaimana tentera menjadikan pejabat pengamal media sebarang sasaran serangan ketenteraan.
“Kesemua keganasan ini memang dirancang bermula dari pengusiran beberapa keluarga Palestin dari persekitaran Sheikh Al Jarrah, serangan puak pelampau Yahudi ke atas rakyat Palestin dan tindakan tidak bertanggungjawab ke atas mereka yang menjalankan ibadah di Masjid Al Aqsa serta serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu, kumpulan wartawan veteran berkenaan juga turut mengecam tindakan media Barat yang sewenang-wenangnya menggelarkan rakyat Palestin sebagai militan, radikal, dan pengganas.
“(Ia merupakan) istilah yang sewenang-wenangnya digunakan bagi menghalalkan keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas mereka (rakyat Palestin,” tegas kumpulan itu lagi.
#Media #Wartawan Veteran Malaysia #Israel #Gaza #serangan #rakyat #Palestin #penindasan #apartheid #jenayah perang #keganasan #tentera #keluarga
;