Wartawan hiburan veteran, Huzz, meninggal dunia
Umavathi Ramayah
Jun 8, 2024 18:30 MYT
Jun 8, 2024 18:30 MYT
KUALA LUMPUR : Wartawan hiburan veteran yang berkhidmat di kemuncak kerjaya sekitar tahun 80-an hingga 90-an, Kamal Huzaini Kamaluddin, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang tadi
Allahyarham yang lebih mesra dikenali dengan nama pena Huzz itu meninggal dunia pada usia 58 tahun, di kediaman abangnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Allahyarham dilaporkan pernah menerima rawatan di Unit Onkologi, Hospital Kuala Lumpur sejak Mac 2024 dan disahkan menghidap kanser usus tahap empat, sebelum dilaporkan berada dalam jagaan keluarga sejak beberapa minggu lalu.
Difahamkan, jenazah bakal dimandi dan dikafankan di Masjid Abdullah Fahim, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang malam ini selepas waktu Isyak.
Pada awal 1990-an, Huzz menyertai Utusan Melayu (M) Berhad sebagai Pengarang Majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz di sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Bersama syarkat akhbar itu, Huzz dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Majalah Mangga bergandingan dengan Juwie.
Huzz memulakan kerjaya kewartawanannya pada tahun 1980-an bersama akhbar Harian Nasional.
Allahyarham kemudian menyertai syarikat media Kumpulan Karangkraf dan ditempatkan di majalah Media Hiburan.
Selain bertugas sebagai wartawan hiburan, portfolio Huzz juga diwarnai sebagai penulis lirik, dengan menghasilkan lirik lagu Keangkuhanmu nyanyian Ramlah Ram, dalam album yang diedarkan pada 1995.
Antara pengalaman menarik Huzz apabila dia berjaya menghidu kisah cinta Siti Nurhaliza dan mendedahkan penyanyi itu sedang berkawan dengan seorang usahawan dikenali Datuk K.
Kerana tulisan itu nama Datuk K yang merujuk kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa menjadi sinonim dan panggilan sehingga kini.
Empat adik Allahyarham juga bergelar wartawan termasuklah Nu-rul Afida Kamaludin yang merupakan wanita pertama bergelar Ketua Pengarang Bernama dan kemudian dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi berita itu.
Sementara itu, penyanyi unggulan negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi akaun Instagramnya turut berduka cita atas khabar pemergian Huzz.
"Seorang sahabat media yang saya kenali sejak dari awal bergelar artis, sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang beliau menjadi wartawan dan tentunya kita kehilangan sosok tokoh senior dalam bidang ini," ujar beliau.
Tambahnya, pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan (upah) badal haji buat Allahyarham, dan berharap agar itu dapat disempurnakan.