Wartawan didakwa dicekik 'pak guard' hospital

Abd Hadi Che Awang
Mei 12, 2019 12:37 MYT
Kejadian berlaku susulan perselisihan faham berhubung satu liputan berita kawasan forensik hospital terbabit. - Astro AWANI
Dua orang wartawan berdepan detik cemas apabila didakwa diserang dan dicekik pengawal keselamatan Hospital Sultanah Bahiyah malam tadi.
Kejadian berlaku susulan perselisihan faham berhubung satu liputan berita kawasan forensik hospital terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam, sekumpulan 9 wartawan sedang berbual-bual di kawasan parkir Unit Forensik hospital itu sebelum didatangi keluarga seorang kanak-kanak yang meninggal dunia akibat terjerut tali buaian.
Akibat sedikit salah faham, keluarga terbabit enggan membenarkan rakaman pada malam tersebut disiarkan.
Pihak wartawan yang akur dengan permintaan tersebut, mula untuk beredar dari hospital.
Bagaimanapun, seorang pengawal keselamatan wanita dengan beberapa pengawal keselamatan lain yang hadir di situ cuba melagakan pihak wartawan dengan keluarga. Dia menyarankan keluarga kanak-kanak tersebut mengambil gambar kesemua wartawan yang bertugas dan menularkan di media sosial.
Salah seorang wartawan yang merakam tindakan pengawal keselamatan itu sebagai bahan bukti, membangkitkan kemarahan kumpulan terbabit dan mula menyerang mangsa.
Tindakan susulan beberapa wartawan lelaki yang berada di lokasi untuk menghalang gagal apabila turut dicekik kumpulan pengawal keselamatan itu.
Pergaduhan yang berlangsung hampir 15 minit ditenangkan pihak polis yang berada di lokasi dan menasihatkan kumpulan wartawan untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Laporan polis dibuat pada pukul 1.50 pagi di Balai Polis Langgar.
Kedua-dua wartawan yang diserang turut melakukan pemeriksaan susulan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah mengikut prosedur laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian tersebut dan berkata akan membuka kertas siasatan membabitkan laporan yang dibuat.
Pihak pengurusan hospital yang dihubungi turut memohon maaf atas tindakan kumpulan pengawal keselamatan tersebut dan akan mengambil tindakan susulan terhadap semua yang terlibat.
#cekik #Hospital Sultanah Bahiyah #pak guard #pengawal keselamatan #wartawan
;