Wartawan buat laporan polis terhadap penulis didakwa fitnah, cemar reputasi Premier Sarawak

Bernama
Jun 12, 2024 23:05 MYT
Mancha Ata mengesahkan bahawa laporan Murugaiah adalah salah satu dari lima laporan polis yang dibuat terhadap artikel-artikel tersebut. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Seorang wartawan veteran di sini telah membuat laporan polis terhadap seorang penulis dua artikel dalam talian baru-baru ini yang dikatakan memfitnah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Murugaiah Meyappan, 66, mendakwa artikel yang ditulis oleh Nehru Sathiamoorthy di platform berita dalam talian mencemarkan reputasi dan imej Abang Johari dengan melemparkan tuduhan jahat dan tidak berasas serta memperlekehkan kepimpinannya dan pencapaian pemimpin negeri itu.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini, semalam.
"Artikel-artikel ini bukan sahaja mencemarkan nama baik Premier saya tetapi juga menimbulkan ancaman besar kepada ketenteraman awam dan kestabilan tadbir urus di Sarawak," katanya dalam mesej teks kepada Bernama di sini hari ini.
Kedua-dua artikel berkenaan diterbitkan masing-masing pada 24 Mei dan 10 Jun.
Murugaiah berkata Nehru telah membuat serangan peribadi dan tidak berasas terhadap Premier yang boleh menjadi ancaman besar kepada kestabilan pemerintahan di Sarawak.
"Saya yakin polis akan bertindak pantas dan tegas untuk menangani perkara ini dan menjaga integriti Tan Sri Abang Johari dan Sarawak," tambahnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan bahawa laporan Murugaiah adalah salah satu dari lima laporan polis yang dibuat terhadap artikel-artikel tersebut.
Menurutnya siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-- BERNAMA
#artikel #bertindak pantas #menjaga integriti #laporan polis
;