Wartawan bertanggungjawab patuhi etika dalam pelaporan berita - Ahli akademik
Bernama
Mei 16, 2024 07:15 MYT
Mei 16, 2024 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pengamal media bertanggungjawab melaporkan berita dengan lengkap dan tepat serta mematuhi Kod Etika Kewartawanan selain menentusahkan sumber dan fakta.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, wartawan mempunyai peranan penting dalam membina peradaban dan ketamadunan selain mempelopori isu-isu kemanusiaan, keamanan serta ekonomi.
"Tanpa wartawan, masyarakat akan hilang pedoman atau arah bagi melihat sesuatu isu secara fakta dan inklusif, ini sebenarnya peranan wartawan.
"... ada ancaman daripada wartawan warga, gangguan anasir luar akan cuba mengubah dimensi corak media Malaysia tetapi dengan kod Etika Kewartawanan, wartawan bertanggungjawab membina masa depan negara yang lebih baik dan masa depan negara adalah dicorakkan oleh persepsi yang dimainkan oleh wartawan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Wartawan Berilmu Tonggak Berita Diyakini terbitan Bernama TV, malam tadi.
Profesor Khas Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Ismail Sualman pula berpendapat, wartawan perlu memastikan laporan yang beretika tanpa memainkan sentimen membabitkan isu-isu sensitif seperti 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
Beliau berkata, wartawan juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas bagi mendepani cabaran perubahan landskap media.
Ismail berkata, selain bertanggungjawab menghasilkan laporan seimbang, adil dan berintegriti, wartawan yang mempunyai ilmu dalam bidang dilaporkan mampu mencetus pemikiran kritis menerusi laporan berita kepada rakyat.
Etika Teras Kewartawanan Mapan diangkat sebagai tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 25 hingga 27 Mei depan. - BERNAMA