Wartawan bersatu kutuk serangan ke atas pengamal media di Plaza Low Yat
Astro Awani
Julai 13, 2015 14:15 MYT
Julai 13, 2015 14:15 MYT
Serangan ke atas beberapa wartawan akhbar berbahasa Cina semasa kekecohan di Plaza Low Yat merupakan satu petunjuk jelas bahawa pihak yang bertangung jawab sengaja menimbulkan masalah dan berhasrat menjadikan hal ini sebagai isu perkauman.
Tegas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Chin Sung Chew, pemberita berkenaan ditugaskan untuk membuat liputan dan sepatutnya mereka boleh dikenal pasti (sebagai pemberita) dengan mudah.
“Kami tidak akan membiarkan perbuatan keganasan dan tindakan mencederakan memandangkan ia akan mewujudkan trend tidak sihat di mana pekerja media diserang semasa melaksanakan tugasan.”
Sung Chew juga khuatir perbuatan ini akan menjejaskan kebebasan akhbar, apabila (wartawan) dihalang daripada menjalankan tugas dengan berkesan.
Dalam pergaduhan pada awal pagi Isnin, wartawan jenayah Sin Chew Daily, Chan Woei Loon yang juga setiausaha NUJ- Cawangan Sin Chew telah diserang oleh sekumpulan penunjuk perasaan.
Dia diserang apabila cuba untuk melindungi dua jurukamera - Calvin Foong Yi Kian dari Kwong Wah dan Sam Kar Haur dari China Press.
Dia kemudiannya dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan manakala seorang lagi telah diberikan rawatan perubatan di tempat kejadian.
Sementara itu Gerakan Media Marah (GERAMM) memandang serius insiden serangan ke atas pengamal media terbabit.
“Penting ditegaskan di sini, pengamal media berada di tempat kejadian untuk berkhidmat bagi kepentingan awam dan tidak wajar mereka dijadikan sasaran pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” jelas gabungan itu melalui satu kenyataan.
“GERAMM mengecam tindakan individu-individu yang menimbulkan kekecohan dan mereka yang menggunakan insiden tersebut untuk mengapi-apikan sentimen perkauman,” tegas GERAMM lagi.
Pada masa sama gabungan itu menyeru semua pihak, termasuk wartawan, agar tidak menyebarkan khabar angin yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Tugas kita, seperti lazimnya, melaporkan fakta serta membantu memberi maklumat tepat, objektif dan telus kepada semua pihak.”
“GERAMM benar-benar berharap kepada semua media agar berpegang teguh pada etika kewartawanan dalam menjalankan tugas, khususnya dalam melaporkan isu-isu hubungan kaum.”
#gaduh KPDNKK
#kementerian perdagangan dalam negeri
#Koperasi dan Kepenggunaan
#Low Yat
#Muez Abdul Aziz