Wartawan Astro AWANI kongsi pengalaman jalani kuarantin di PKRC
Astro Awani
Mei 22, 2021 16:21 MYT
Mei 22, 2021 16:21 MYT
KUALA TERENGGANU: Pengalaman selama tujuh hari ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dirasakan amat panjang dan menguji emosi kerana terpaksa menahan kerinduan terhadap keluarga serta kebebasan yang dikecapi selama ini.
Apatah lagi terpaksa dibawa ke pusat kuarantin berkenaan di saat takbir raya mula berkumandang dengan menaiki van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya menyambut 1 Syawal bersama pesakit yang lain.
Itu antara perkongsian pengalaman wakil Astro AWANI Terengganu, Nur Fazlizai Ali yang ditempatkan di PKRC Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Chendering, di sini pada 12 Mei lalu selepas disahkan positif COVID-19.
Nur fazlizai mengakui, pada mulanya dia agak tertekan apabila dimaklumkan perlu menjalani proses kuarantin bagi mengekang penularan wabak itu.
Perkhabaran duka yang diterima itu saling tidak ubah bagaikan mimpi ngeri buatnya kerana selama ini dia hanya melaporkan berita mengenai orang lain yang tidak dikenalinya menghidap COVID-19.
Kali ini, dia sendiri terpaksa melalui ujian yang sama.
Pelbagai perkara yang tergambar di ruang fikirannya termasuk rasa kurang senang, ketakutan dan runsing mengenang apakah nasibnya bila ditempatkan di situ kelak.
Namun, selepas seminggu menjalani proses kuarantin di PKRC UiTM Chendering, nyata memberi kenangan dan pengajaran yang berharga untuknya melihat sendiri bagaimana pesakit terpaksa menjalani kehidupan baharu.
Bagi Nur Fazlizai, pengalaman dilalui itu menjentik keinsafan buatnya kerana melihat kesusahan dan kepayahan yang diharunginya amatlah kecil berbanding pengorbanan besar petugas kesihatan di barisan hadapan.
Masakan tidak, tugas dan peranan petugas kesihatan jauh lebih besar kerana mereka terpaksa berkorban untuk tidak menikmati juadah enak Aidilfitri dan memperaga pakaian baharu, asalkan khidmat kepada negara dapat disempurnakan sebaik mungkin.
Kata Nur Fazlizai, selama di PKRC itu, perspektifnya terhadap dedikasi dan komitmen pengorbanan petugas barisan hadapan yang cukup komited memerangi wabak ini amatlah dihargainya.
“Apabila disahkan positif (saya) memang takut sebab kita tahu (COVID-19) bahaya dan boleh membawa maut.
"Perasaan bimbang tetap ada sepanjang berada di pusat kuarantin, namun saya hanya bertawakal dan berserah kepada Allah kerana telah mengambil langkah pencegahan awal sebelum ini.
“Rasa takut itu berjaya dihakis kerana suasana dalam pusat kuarantin sangat berbeza dan saya dikelilingi aura yang positif kerana para pesakit dan petugas kesihatan sering memberikan sokongan dan kata-kata semangat agar perasaan takut bimbang dapat dihindarkan sepanjang kami berada di pusat kuarantin berkenaan,” kata Nur Fazlizai berkongsi pengalaman berharganya itu
Kepada wartawan berusia 34 tahun itu, rutin hariannya turut berubah sepanjang ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan dimana pada setiap pagi tahap kesihatan dia dan pesakit-pesakit lain akan dipantau oleh petugas-petugas KKM.
Sepanjang dirawat di sana, Nur Fazlizai juga mengagumi ketabahan setiap petugas KKM yang tidak putus-putus menerima kemasukan pesakit baharu setiap masa termasuk pada tengah malam.
Melihat bagaimana dia dan lebih 300 pesakit lain ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan benar-benar membuatkan Nur Fazlizai sebak dan tidak henti-henti memanjatkan doa kepada Allah agar segera mengakhiri pandemik.
Dalam masa sama, Nur Fazlizai turut menyuarakan harapan agar masyarakat tidak menyisihkan individu yang dijangkiti COVID-19, sebaliknya, bersama-sama memberikan sokongan untuk mereka melawan virus ini.
Nur Fazlizai yang masih bujang sangat bersyukur kerana sejak disahkan positif dan menjalani kuarantin kendiri di rumah, dia tidak mengalami sebarang gejala.
“Kepada mereka yang pernah disahkan positif atau kini sedang dirawat, apa yang saya boleh katakan ialah teruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya kita mampu jaga kita.
“Sementara buat rakyat Malaysia lain pula, saya merayu tolonglah patuh SOP, duduk sahaja di rumah, jangan sesekali keluar melainkan ada urusan kecemasan. Kita kena sama-sama bantu kerajaan untuk putuskan rantaian COVID-19.
“Kalau bukan kita yang ambil tanggungjawab itu, percayalah amat sukar untuk kita membanteras COVID-19,” rayu Nur Fazlizai lagi.
#COVID-19
#Nur Fazlizai Ali
#kuarantin
#PKRC
#Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah
#wartawan Astro AWANI