Wartawan ada hak rahsiakan sumber, polis ada hak siasat - Fahmi

Astro Awani
Ogos 10, 2024 09:11 MYT
Fahmi berkata, berdasarkan Kod Etika Kewartawanan, pengamal media mempunyai hak untuk kerahsiaan sumber. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tindakan polis memanggil tiga wartawan sebuah portal dalam talian berhubung laporan pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, tidak bercanggah dengan hak wartawan untuk membuat laporan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan Kod Etika Kewartawanan, pengamal media mempunyai hak untuk kerahsiaan sumber.
"Kalau kita rujuk Kod Etika Kewartawanan yang diterbitkan, memang kita beri penegasan bahawa wartawan mempunyai hak untuk kerahsiaan.
"Tetapi dalam masa yang sama, saya telah sebut sebelum ini, wartawan perlu memberikan kerjasama kepada pihak polis kerana dari segi peraturan sekiranya ada laporan, polis perlu melakukan siasatan.
“Wartawan ada hak untuk laporkan, polis ada hak untuk menyiasat. Tindakan polis memanggil wartawan Malaysiakini bukanlah satu perkara yang kontrakdisi dengan hak kewartawanan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu ketika ditanya sama ada tindakan memanggil wartawan berkenaan kemungkinan akan menjejaskan imej kebebasan media, termasuk dengan kemerosotan kedudukan Malaysia daripada 73 kepada 107 dalam Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024, Fahmi berkata, laporan yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku di dalam negara.
"Laporan itu tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku dalam negara. Ada dalam kalangan RSF juga tidak bersetuju dengan 'ranking' dikeluarkan sebab ia tidak menggambarkan situasi sebenar berlaku dalam negara.
"Kita juga telah melakukan beberapa teguran kepada RSF setiap tahun dari segi Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Saya ingin tekankan, ‘ranking’ ini bukan berdasarkan prestasi negara kita sahaja tetapi perkiraan negara-negara lain juga," katanya.
Pada Jumaat lalu, tiga wartawan Malaysiakini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, berhubung satu laporan yang disiarkan portal itu.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa PDRM sedang merancang rombakan besar-besaran membabitkan pertukaran pegawai tertingginya ke agensi lain, termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain menafikan dakwaan berkenaan.
#ayob khan mydin pitchay #Fahmi Fadzil #hak media #Polis Diraja Malaysia