Wartakan Banjaran Titiwangsa sebagai kawasan simpanan kekal - Peka
Faris Danial Razi
Januari 12, 2022 20:08 MYT
Januari 12, 2022 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: “Ekopelancongan negara mungkin akan pupus satu hari nanti.”
Itu amaran Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil kepada pihak berwajib sekiranya hutan habis digondol.
Dalam masa sama, beliau menggesa agar kerajaan mengenakan moratorium atau menghentikan aktiviti pembalakan buat sementara waktu.
Tegas Shariffa Sabrina, pada masa ini, hutan-hutan negara semakin mengecil atau pupus dan kerana itu moratorium ke atas aktiviti pembalakan sangat-sangat dituntut.
“Ini maknanya berhenti dulu… mungkin untuk 20 hingga 30 tahun, biar hutan kita hidup semula,” gesa Shariffa Sabrina.
Sehubungan itu, Shariffa Sabrina menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mewartakan Banjaran Titiwangsa sebagai kawasan simpanan kekal demi masa depan generasi yang akan datang.
Banjaran Titiwangsa, tegas Shariffa Sabrina, merupakan tulang belakang negara kita.
“Jika kita lihat sendiri keadaan Banjaran Titiwangsa dari sudut udara, kita naik kapal terbang dan tengok keadaan banjaran itu kebanyakan telah ditarah.
“Jadi itu yang selalunya memberi banyak bala bencana kerana sungai-sungai kita semua turun dari sana.
“Jika ia (Banjaran Titiwangsa) digazetkan, ia boleh menjadi satu tapak warisan dan Insya-Allah hutan-hutan kita ini masih boleh diselamatkan,” ujarnya dalam satu temubual eksklusif Sinar Harian bersama Tan Sri Johan Jaaffar pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Shariffah Sabrina berkata, selagi sektor perhutanan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, selagi itu masalah pembalakan ini tidak akan selesai.
“Akta yang sekarang ada ini kena tukar, maknanya terpulang kepada Ahli Parlimen untuk tukar Akta Perhutanan kita kerana ia tidak pernah ditukar sejak 1984.
“Dan saya menyarankan agar perhutanan di bawah kerajaan Persekutuan, selagi kerajaan negeri berkuasa terhadap hasil tuan dan tanah selagi itu susah pada saya untuk menjaga hutan itu,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, Malaysia harus mencontohi Thailand yang mengharamkan pembalakan komersial pada 1989 susulan bencana banjir yang mengorbankan lebih 350 orang.
“Ekopelancongan ini lebih kepada jangka masa panjang untuk kesejahteraan negara dan ia adalah salah satu faktor penyumbang ekonomi dalam jangka masa panjang.
“Namun, pembalakan ini pula untuk jangka masa pendek, ia memang cepat dapat hasil pendapatan namun dalam jangka masa panjang itu, ia banyak memberi kerosakan,” kata Shariffah Sabrina lagi.