Warta semula HSKLU bukti pentadbiran responsif, berakauntabiliti - Najwan
Fareez Azman
September 9, 2021 16:53 MYT
September 9, 2021 16:53 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan Negeri Selangor membuktikan pentadbiran yang bersifat responsif, cakna, berakauntabiliti dan tata kelola yang tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN), Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, desakan pelbagai segmen masyarakat didengari kerajaan negeri bagi memastikan agenda hijau dalam pentadbiran serta pendekatan pembangunan lestari terus diangkat.
"Saya menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
"Ternyata desakan pelbagai segmen masyarakat merangkumi gabungan pertubuhan pencinta alam, pimpinan politik rentas parti termasuk warganet mencetuskan impak yang tinggi dalam tuntutan pembatalan nyahwarta HSKLU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Najwan turut merakamkan penghargaan khususnya kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) dalam mempertahankan pendirian parti berhubung isu itu.
"Saya juga rakamkan penghargaan khusus kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan yang konsisten dalam mempertahankan pendirian parti berhubung isu ini.
"Serta kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor yang sebulat suara mendukung Usul No. 26 di bawah Peraturan Tetap 26 (1) yang dibentangkan oleh saya dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada 11 November 2020," katanya lagi.
Keputusan bersejarah itu jelas Najwan lagi, menjadi pemangkin buat Kerajaaan Negeri Selangor untuk menjadi contoh ikutan kepada pentadbiran kerajaan negeri lain.
Pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSLKU).
Jelasnya, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.
Malah tegas Amirudin, segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.
#ADUN
#Amirudin Shari
#Ampang
#Kuala Langat
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#PKR
#undang-undang
#HSKLU
#Hutan Simpan Kekal
#Najwan Halimi
#ADUN Kota Anggerik
#rakyat