Warkah Agong tular di media sosial

Ridauddin Daud
Julai 30, 2021 18:02 MYT
Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan agar Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkaikan di Parlimen selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial pada Jumaat.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dilihat antara yang terawal berkongsikan warkah tersebut dalam Facebook beliau dengan memuat naik status ringkas “Baru terima”.
Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.
Sumber Facebook NoorAminAhmad
Semasa sesi menghadap tersebut, Baginda menitahkan tidak berkenan untuk menandatangani permohonan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Berikut empat perkara dititahkan Baginda dalam pertemuan secara maya tersebut:
1. Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana lanya dilakukan secara tergesa-gesa laitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain akan keperluan lanya diwartakan.
[TERKINI] YDP Agong dukacita pembatalan Darurat dibuat sebelum diperkenan Baginda
2. Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Du Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
3. Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkaikan di Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
4. Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berhubung tindakan undang-undang atau kompaun yang telah dikeluarkan di bawah Ordinan-Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25 Julai 2021.
BACA: Bawa usul pembatalan, perbahasan Ordinan Darurat ke Parlimen - Ilham Centre
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: 10 tumpuan utama sidang hari keempat
Begitupun, dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita selepas Takiyuddin tidak menuruti titah Baginda malah memberi kenyataan bercanggah dan tidak tepat dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021.
“Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang) selanjutnya telah memberi kenyataan yang bercanggah dan tidak tepat dalam Dewan Rakyat pada 26 Julal 2021 bahawa Kerajaan telah membatalkan kesemua Ordinan-Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021.
“Kenyataan Yang Berhormat Menteri tersebut pada hemat Beta telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Menarik perhatian Yang Amat Berhormat, Beta sedia maklum akan perlunya, Beta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan,” titah Baginda.
Dewan Rakyat | Anwar usul Muhyiddin lucut jawatan sebagai PM
Al-Sultan Abdullah kemudian bertitah lagi, keputusan muktamad berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut pada hemat Baginda sewajarnya mengambil kira akan situasi-situasi semasa seperti berikut:
1. Cadangan pembatalan ini telah disembah lewat kepada Beta laitu pada 24 Julai 2021. Tambahan pula, ianya terlalu hampir dengan tarikh persidangan Parlimen yang telah semua sedia maklum bakal bermula pada 26 Julai 2021.
2. Sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya menzahirkan impak negatif kepada Beta.
3. Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dilakukan dengan membelakangi fungsi dan kuasa Beta selaku Ketua Negara seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
4. Tarikh kuatkuasa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah dikebelakangkan atau retrospective dengan berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 manakala permohonan diterima pada 23 Julai 2021.
5. Pembatalan Ordinan Darurat adalah merupakan kuasa perlembagaan Beta dan bukannya terletak di atas kuasa Jemaah Menteri semata-mata.
Ordinan Darurat | Kerajaan nasihati Agong batal semua ordinan - PMO
“Berdasarkan huraian-huraian di atas dan sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung, Beta menitahkan agar cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.
“Titah Beta ini juga adalah selaras dengan cabutan Minit Mesyuarat Jemaah Menteri secara sidang video pada 21 Julai 2021,” titah Seri Paduka Baginda.
Kandungan warkah tersebut dilihat mirip dengan kenyataan daripada Istana Negara pada Khamis yang antara lainnya menyatakan Al-Sultan Abdullah amat berdukacita dengan keadaan yang berlaku dalam negara sekarang berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.
Astro AWANI sedang cuba mendapatkan pengesahan Istana Negara berhubung penyebaran warkah tersebut.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah #warkah #Ordinan Darurat #pembatalan #Perdana Menteri #PM #Muhyiddin Yassin #Takiyuddin Hassan #undang-undang #media sosial #Facebook #Parlimen #Peguam Negara
;