Waris Sosilawati puas hati keputusan mahkamah

Azyyati Ahmad
Disember 4, 2015 18:48 MYT
Rita (gambar) dan adik-beradiknya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan rakyat Malaysia di atas doa yang tidak putus-putus buat arwah ibu dan keluarganya. - Facebook
Kesemua waris Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Menurut anak sulungnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari, keputusan itu menamatkan penantian selama lima tahun keluarganya dan menyifatkannya sebagai tidak sia-sia.
Beliau yang turut dikenali sebagai Rita Sosilawati memberitahu, sebaik mengetahui keputusan tersebut, keluarganya memanjatkan syukur ke hadrat ilahi kerana nasib ibu dan tiga mangsa lain akhirnya terbela.
"Saya mewakili ahli keluarga ini sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini yang sekaligus menjadi pembakar semangat kepada kami, lima beradik untuk meneruskan legasi yang telah ibu tinggalkan.
"Ini semua untuk ibu, kami rasa bersyukur keputusan berpihak kepada kami," kata Rita ketika dihubungi Astro AWANI.
Rita mewakili adik-beradiknya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan rakyat Malaysia di atas doa yang tidak putus-putus buat arwah ibu dan keluarganya.
Selepas keputusan ini, mereka sekeluarga dijangka mengadakan majlis tahlil dan doa selamat buat arwah ibu.
Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap empat lelaki kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
BACA: Mahkamah: 'Sosilawati telah meninggal dunia dan perayu adalah lakunya'
Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka dikatakan pergi ke Banting berhubung urus niaga jualan tanah.
Kehilangan mereka menjadi tajuk utama akhbar tempatan di seluruh negara.
Keempat-empat lelaki itu ditahan dan didakwa di mahkamah pada 2011.
#Erni Dekritawati Yuliana Buhari #Rita Sosilawati #Sosilawati Lawiya
;