Waris MH370 mahu serah serpihan baharu kepada kerajaan esok

Israr Khalid
November 29, 2018 12:36 MYT
Voice370 kini sudah memiliki lima serpihan dipercayai daripada kapal terbang yang ditemui oleh orang awam di Madagascar.
Kumpulan waris mangsa pesawat hilang MH370, Voice370 kini sudah memiliki lima serpihan dipercayai daripada kapal terbang yang ditemui oleh orang awam di Madagascar.
Kata wakil kumpulan tersebut, Grace Nathan, mereka akan membawa serpihan tersebut kepada Kementerian Pengangkutan esok dengan harapan kerajaan dapat melaksanakan sesuatu daripada penemuan terbaharu itu.
"Sudah lebih setahun serpihan itu di Madagascar yang dikumpul oleh orang awam di sana dan kami ingin serahkannya kepada kementerian.
"Kalau dilihat pada satu serpihan mungkin tidak memberi banyak makna, tetapi kalau tidak dicantumkan dengan serpihan-serpihan lain yang telah ditemui mungkin kita tidak tahu (keberangkaliannya) bersangkut dengan kehilangan pesawat ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Antara bentuk serpihan itu katanya adalah kecil, satu serpihan mempunyai nombor dan label yang masih boleh dibaca.
Kata Grace, melalui pakar bebas yang dirujuk, label pada serpihan itu dipercayai merujuk kepada panel lantai kapal terbang tersebut.
Jelasnya, pertemuan esok juga diharap dapat 'memujuk' kerajaan untuk melaksanakan lagi inisiatif bagi meneruskan usaha pencarian bagi merungkai misteri yang sekian lama tidak terjawab itu.
Pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha namun gerakan pihak kerajaan yang bertanggungjawab tetap diharapkan.
"Ketika ini kami tetap berhubung dengan pakar-pakar bebas dan syarikat-syarikat peribadi yang mempunyai kemampuan dan teknologi.
"Ocean Infinity, syarikat yang melakukan pencarian pada awal tahun tempoh hari telah memberitahu kami yang mereka ingin cari lagi dengan terma dan syarat yang sama, iaitu tidak perlu membayar apa-apa sehingga ia ditemui.
"Jadi kami harap Menteri Pengangkutan membuka hati kepada syarikat-syarikat seperti ini," tegasnya.
Walaupun sudah lima tahun tarikh hitam itu berlalu, kata Grace, secara peribadi ia satu luka yang mustahil untuk sembuh selagi apa yang terjadi kepada pesawat itu masih tidak diketahui.
Tegasnya lagi, usaha perlu diteruskan dan penting untuk merungkai misteri kehilangan MH370 supaya kejadian sama seumpamanya tidak berulang lagi.
Pada 29 Mei, syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity menamatkan pencarian tanpa sebarang penemuan.
#Kementerian Pengangkutan #lantai #Madagascar #Malaysia Airlines #MH370 #OCEAN INFINITY #PrayForMH370 #Serpihan #Voice370
;