Waris MH370: Harapan yang lebur
Linda Salim
Ogos 6, 2015 20:39 MYT
Ogos 6, 2015 20:39 MYT
"Saya tak pasti. Saya tak tahu apa nak fikir ."
Itu luahan hati Grace Subathirai selepas menonton pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik pesawat malang penerbangan MH370.
Grace bersama beberapa lagi waris mangsa MH370 yang dihubungi Astro AWANI terkejut dengan pengumuman terbaru mengenai kehilangan pesawat itu.
"Kami tak tahu langsung ada pengumuman yang akan dibuat pada malam ini," kata seorang lagi waris, Lim Wee Hoon.
Abang ipar Lim, Chan Huan Peen adalah salah seorang 239 penumpang yang menaiki pesawat MH370 sebelum dilaporkan hilang 8 Mac 2014.
Mereka sekeluarga sering tertanya-tanya apakah nasib Huan Peen sejak kehilangan pesawat terbabit.
Begitu juga Jacquita Gonzales, isteri kepada Penyelia Penerbangan Patrick Gonzales yang tidak mampu mengawal kesedihan apabila menerima berita pengesahan serpihan itu adalah milik Boeing 777 penerbangan MH370.
"Saya masih cuba untuk menerima kenyataan ini," katanya ringkas. Jacquita dan keluarga bagaimanapun sangat menghargai sokongan yang tidak putus-putus diterima sejak pengumuman itu dibuat pagi Khamis.
Sementara itu, isteri salah seorang lagi penumpang, Jalwati Jalil pula menyifatkan terlalu banyak kecelaruan yang timbul sejak awal pencarian pesawat yang disahkan berakhir di Lautan Hindi itu.
"Sebab itu susah untuk saya percaya dengan berita ini," ujar Jalwati.
Jalwati kehilangan Safuan Raslan yang dikenalinya selama 19 tahun.
"Ya, agak berat untuk saya percaya serpihan itu datang dari MH370," tambah beliau lagi.
#Chan Huan Peen
#Grace Subathirai
#Jacquita Gonzales
#Jalwati Jalil
#Lim Wee Hoon
#MH370
#Najib Razak
#waris