Waris MH17 tuntut keadilan dan mahu dalang didakwa

Astro Awani
Oktober 14, 2015 08:00 MYT
Ahli keluarga pramugara MH17 Sanjid Singh Sandhu yang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 mahu dalang serangan itu dibawa ke muka pengadilan. - Foto fail Bernama
Ahli keluarga pramugara MH17 Sanjid Singh Sandhu yang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine mahu dalang serangan itu dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Bapa mendiang Sanjid, Jijar Singh Sandhu, 71, berkata, walaupun laporan siasatan akhir MH17 telah diumumkan, namun mereka tidak dapat menerima sepenuhnya penjelasan itu.
Beliau berkata, laporan yang diberikan itu masih tidak menyeluruh serta belum lengkap kerana ia tidak menyatakan dengan jelas pihak mana yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.
"Apa yang saya baca di internet masih tidak konklusif, hanya mengenai pesawat itu dan usaha untuk membinanya semula. Ia tidak nampak macam pesawat itu (MH17). Apa yang boleh saya katakan.
"Saya tidak yakin, malah sehingga tahun depan, 2016, tidak ada sesiapa atau negara yang akan dipertanggungjawabkan menembak jatuh MH17.
"Terdapat pelbagai spekulasi, kumpulan pemberontak dikatakan yang menembak MH17 dan Rusia pula keluar dengan dakwaannya bahawa, Ukraine yang bertanggungjawab. Hanya Tuhan yang tahu," katanya ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya di Taman Selamat, Alma, di sini, Selasa.
BACA: Dalang tembak jatuh MH17 harus bertanggungjawab - PM
BACA: Malaysia mahu mahkamah antarabangsa bebas dakwa dalang nahas MH17
VIDEO: Laporan akhir hasil siasatan nahas pesawat MH17
Menurutnya, adalah tidak adil kepada mangsa serta waris yang masih menanti penjelasan lengkap berhubung nahas itu.
"Kita tidak tahu siapa dalangnya, itu yang kami hendak tahu dengan segera. Jika ada sesiapa yang boleh menamakan Rusia sebagai dalangnya, kita boleh saman Rusia. Jika mereka kata Ukraine, kita boleh dapatkan peguam untuk menyaman Ukraine.
"Tetapi, apa yang boleh kami lakukan sekarang hanyalah dengan menyaman MAS," katanya.
Sanjid Singh, 42 tahun, salah seorang anak kapal yang terbunuh dalam nahas itu meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki berusia 11 tahun yang kini menetap di Kuala Lumpur.
#Malaysia Airlines #MAS #MH17 #pengadilan #pramugara #Sanjid Singh Sandhu
;