Waris mangsa pesawat ringan terhempas di Klang tiba di Jabatan Forensik HTAR
Ridauddin Daud
Februari 14, 2024 08:50 MYT
Februari 14, 2024 08:50 MYT
KLANG: Beberapa individu yang difahamkan waris kepada mangsa tragedi pesawat ringan terhempas di Kapar, semalam, tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pada pagi ini.
Waris pertama, dipercayai keluarga pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina dilihat tiba di hadapan bangunan jabatan pada jam 8.10 pagi.
Seorang lelaki warga emas dan seorang wanita dilihat berada dalam sebuah kereta berwarna kelabu bernombor pendaftaran negeri Johor.
Selang 15 minit kemudian, waris kepada juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon pula dilihat tiba di luar Jabatan Forensik HTAR.
Astro AWANI difahamkan, waris-waris mangsa dikumpulkan di satu tempat lain sementara proses bedah siasat dijalankan.
Setakat jam 8.40 pagi tadi, jabatan tersebut dilihat sibuk dengan banyak kenderaan memasuki bangunan bagi proses bedah siasat yang dijadual dilakukan pada pagi ini.
Beberapa anggota polis dan kakitangan Jabatan Kimia Malaysia juga dilihat memasuki bangunan tersebut kira-kira jam 8.20 pagi.
Petugas media pula sudah berada di luar Jabatan Forensik HTAR seawal jam 7 pagi tadi bagi melaporkan perkembangan terbaharu tragedi yang meragut dua nyawa itu.
Pada Selasa, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.
Kedua-dua mangsa pesawat berkenaan ditemukan berada di dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter di dalam tanah.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.