Waris mangsa nahas MH17 mahu adakan pertemuan dengan menteri - Rohani

Bernama
Julai 15, 2016 07:38 MYT
DATUK SERI ROHANI: Saya telah bawa perkara ini untuk tindakan Kementerian Pengangkutan untuk selesaikan atau tangani masalah yang dibawa oleh mereka itu.
Satu pertemuan dengan waris mangsa nahas pesawat MH17 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa perkara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata dalam satu pertemuan bersama wakil keluarga mangsa baru-baru ini, mereka mahu perjumpaan diadakan melibatkan beliau, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Selain itu, menerusi sesi kaunseling yang diadakan oleh kaunselor kita, waris mangsa melahirkan rungutan dan memohon supaya segala pampasan dibayar secepat mungkin.
"Saya telah bawa perkara ini untuk tindakan Kementerian Pengangkutan untuk selesaikan atau tangani masalah yang dibawa oleh mereka itu," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Perlindungan Wanita Sarawak sempena Seminar Literasi Undang-undang Dan Pengurusan Emosi di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi sesi kaunseling yang diberikan juga, beberapa masalah yang dialami oleh waris mangsa nahas sudah dapat diatasi.
"Saya juga sudah bawa dalam mesyuarat Kabinet supaya anak-anak kru, anak-anak penumpang turut dibantu dari segi pelajaran, kesihatan atau apa sahaja bantuan yang boleh kerajaan berikan kepada mereka.
"Sebagai contoh, jika mereka ke hospital mendapatkan rawatan atau ke sekolah mungkin sedikit kelebihan diberikan kepada mereka," katanya.
#Malaysia Airlines #Nahas #pesawat MH17 #Rohani Abdul Karim #Ukraine