Waris mangsa MH17 fail saman kecuaian terhadap MAS, tuntut ganti rugi
Bernama
Julai 15, 2016 17:27 MYT
Julai 15, 2016 17:27 MYT
Waris kepada tujuh penumpang pesawat MH17 hari ini memfailkan saman kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap Malaysia Airlines System Berhad (MAS) berhubung kehilangan anggota keluarga mereka dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai 2014.
Waris kepada empat warga Indonesia dan tiga warga Belanda itu memfailkan saman tersebut melalui peguam mereka Datuk Dr S.Arunan daripada Tetuan Rusmah Arunan & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Arunan yang ditemui pemberita berkata 11 plaintif yang enggan mendedahkan identiti mereka itu menamakan MAS sebagai defendan tunggal dalam tuntutan saman itu.
Mengikut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa defendan (MAS) melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang diketahui berada di bawah konflik bersenjata.
Mereka mengemukakan tuntutan berdasarkan peruntukan Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, Konvensyen Montreal 1999 dan/atau Akta Undang-undang Sivil 1956 untuk kematian si mati.
Mereka memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah, kos dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, peguam Shailender Bhar yang mewakili lapan lagi waris pesawat malang MH17 turut mengemukakan saman kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap Malaysia MAS dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Beliau yang ditemui pemberita selepas memfailkan saman itu juga enggan menyerahkan dokumen serta mendedahkan identiti waris kepada lapan mangsa yang terdiri daripada dua penumpang dan enam anak kapal.
Katanya 30 plantif itu mewakili lapan mangsa pesawat MH17 itu.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.
Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.
#Amsterdam ke Kuala Lumpur
#fail saman kecuaian dan pelanggaran kontrak
#Malaysia Airlines System
#MAS
#pesawat MH17
#Waris tujuh penumpang