Waris mangsa kemalangan jalan raya alami kecederaan otak terima pembelaan Perkeso
Astro Awani
September 18, 2021 17:41 MYT
September 18, 2021 17:41 MYT
PUCHONG: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyampaikan faedah sumbangan barangan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada waris pekerja pengurusan sisa pepejal yang meninggal dunia, Mei lalu, akibat kemalangan jalan raya, di kediaman keluarga tersebut di Puchong hari ini.
Mendiang T.V. Vijaya Kumaran, 52, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang bekerja dari ibu negara ke Puchong dan menyebabkan mendiang mengalami kecederaan otak traumatik teruk (Severe Traumatic Brain Injury) dan terpaksa menjalani pembedahan implan tempurung kepala sebelah kiri serta perlu menerima rawatan perubatan di hospital.
Prihatin dengan nasib menimpa mendiang, Saravanan meluangkan masa melawat dan menyerahkan sendiri faedah Perkeso kepada mendiang di Hospital Kuala Lumpur, pada November tahun lalu.
Kesemua kos pembedahan implan berjumlah RM23,000 dan rawatan perubatan mendiang di Hospital Kuala Lumpur turut ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.
Selain itu, kes mendiang turut dipantau rapi oleh Pengurus Kes, Program Return to Work (RTW) Perkeso, yang mana mendiang diberikan bantuan pemulihan di bawah program rehabilitasi selama tiga bulan.
Saravanan menerusi Perkeso dalam satu kenyataan berkata, sejurus pemergian mendiang, pihaknya Perkeso telah segera membuat semakan dan mendapati caruman mendiang di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) memenuhi syarat kelayakan, membolehkan warisnya menerima faedah PERKESO di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
“Balu mendiang T. Poongkoathai, 49, dan dua orang anak perempuannya, V. Thibaanageswari, 21, dan V. Vishva Rubini, 19, yang masih di bangku persekolahan, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM2,232 sebulan.
“Mereka juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000,” kata Saravanan dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Perkeso turut menanggung kos pembedahan implan tempurung berjumlah RM23,000 dan menanggung sepenuhnya rawatan mendiang semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Selain itu, kes mendiang juga telah dipantau rapi oleh Pengurus Kes, Program Return to Work (RTW) Perkeso.
“Mendiang telah diberikan bantuan pemulihan di bawah program rehabilitasi selama tiga bulan,” katanya.
Sementara itu, anak perempuan mendiang, V. Vishva Rubini berkata, faedah tersebut banyak membantu meringankan beban selain berterima kasih kepada Perkeso atas keprihatinan diberikan kepada keluarganya.
“Saya ingin sampaikan berbanyak-banyak terima kasih bagi pihak ayah saya kepada KSM dan Perkeso untuk bantuan diberikan,” ujarnya.
Saravanan, hari ini, meluangkan masa untuk melihat sendiri keadaan keluarga itu di kediaman mereka di Taman Puchong Perdana, di samping menyerahkan bantuan barangan Prihatin Perkeso dan kesemua faedah tersebut.
Hadir sama adalah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Ketua Pegawai Komunikasi Perkeso, Izad Raya; Pengarah Perkeso Kuala Lumpur, Mustafa Draman dan Pengurus Kes Kuala Lumpur, Mustaqim Wali Abdul Khalid.
#Kementerian Sumber Manusia
#Saravanan
#perkeso
#Mohammed Azman
#Puchong
#kemalangan
#kecederaan otak
#Suri Rumah