Waris beri kebenaran kepada Malaysia urus mayat Kim Jong Nam - Timbalan KPN

Bernama
Mac 16, 2017 14:34 MYT
NOOR RASHID: Difahamkan keluarga mangsa serahkan kepada pihak kerajaan untuk urus mayat.
Keluarga mendiang Kim Jong Nam memberi kebenaran kepada kerajaan Malaysia untuk menguruskan mayat rakyat Korea Utara itu yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 13 Feb lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dan di mana waris mangsa memberikan kebenaran itu.
"Saya difahamkan (keluarga mangsa) serahkan kepada pihak kerajaan untuk urus mayat...kita akan uruskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar "Belia & TN50: Perspektif Keselamatan Negara" di sini hari ini.
Jon Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di KLIA2 untuk menaiki pesawat ke Macau.
Jong Nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Dua wanita warga asing - Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu. Beliau berkata siasatan ke atas kes pembunuhan itu selesai mengikut protokol antarabangsa yang ketat dengan terdapat baki empat suspek untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
-- BERNAMA
#kim jong nam #KLIA2 #Korea Utara #Malaysia #urus mayat #waris mangsa
;